Friday 21 August 2009

Isu Skim Insuran Kesihatan di Malaysia


Saya terbitkan semula tulisan saya pada tahun 2006 kerana melihat tajuk akhbar Utusan Malaysia hari ini (22 Ogos 2009):

Polisi insurans tidak merangkumi penyakit berjangkit - PIAM

KUALA LUMPUR 21 Ogos - Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) menjelaskan bahawa Polisi Insurans Hospital dan Pembedahan (HSI) tidak merangkumi penyakit berjangkit termasuk selesema babi atau influenza A (H1N1).

Pengarah Eksekutif PIAM, CF Lim berkata, HSI digubal untuk meliputi kos rawatan perubatan swasta seperti di hospital dan perkhidmatan penjagaan kesihatan jika seseorang menghadapi penyakit kronik atau terlibat dalam kemalangan.

''Perbelanjaan tersebut merangkumi bilik hospital, yuran pembedahan dan profesional, bekalan ubat dan kemudahan-kemudahan lain.

''Polisi HSI juga akan membantu pemegang polisi jika mereka tidak berupaya untuk bekerja ekoran penyakit atau kecederaan," kata beliau dalam kenyataannya di sini hari ini.

**************************************************************************
Isu Skim Insuran Kesihatan di Malaysia:
Tunjukkan Keprihatinan Kita
Oleh: Khairul Afnan Khalid

Pengimplementasian Skim Insurans Kesihatan oleh kerajaan Malaysia dikatakan akan berlaku pada tahun depan. Ini adalah menurut suatu forum yang diadakan bagi membantah perkara tersebut di Pusat Siswazah, Universiti Malaya pada 11 Disember 2006 lalu. Forum tersebut mendesak kerajaan mendapatkan maklum balas dari orang ramai sebelum diwartakan di Parlimen. Hal ini disokong oleh Persatuan Perubatan Malaysia (MMA). Pelaksanaan ini juga berkait rapat dengan Isu Penswastaan Perkhidmatan Kesihatan. Tentulah ada baik dan buruknya. Pihak kerajaan Malaysia masih belum mengeluarkan kenyataan rasmi berkenaan perlaksaannya walaupun diminta oleh beberapa pihak (sehingga artikel ditulis - 2006).

Apa akan berlaku apabila sistem ini dilaksanakan? Kenapa pula perlu prihatin?

Bagi menjawab soalan ini, saya sertakan suatu artikel yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), berita tersebut berbunyi seperti berikut:

Penswastaan kesihatan usah beban pesakit
WASHINGTON: Langkah Malaysia menswastakan sistem rawatan kesihatannya perlu dibuat selepas menimbang kebajikan pengguna yang mungkin menjadi mangsa syarikat insurans yang tidak bertanggungjawab, jika ia tidak dikawal.

Penyelidik dari Universiti Malaya, Dr Nik Rosnah Wan Abdullah yang berada di sini untuk membandingkan sistem rawatan kesihatan Malaysia dengan Amerika Syarikat berkata sistem yang digunakan di negara itu tidak boleh diguna pakai di Malaysia.

“Ketika syarikat insurans kesihatan swasta dikawal dengan rapi di peringkat persekutuan mahupun negeri di Amerika Syarikat, insurans kesihatan masih mahal dan tidak mampu dilanggan kira-kira 45 juta daripada rakyat Amerika sendiri,” katanya.

Dr Nik Rosnah adalah felo kanan antarabangsa Institute of Policy Studies, Johns Hopkins University di Baltimore, Maryland di bawah program Fulbright. Di Malaysia, rawatan kesihatan kepada kira-kira 900,000 kakitangan awam dibiayai kerajaan.

Bagaimanapun, masalah pesakit yang terlalu ramai di hospital awam, tempoh menunggu yang lama serta kekurangan doktor menyebabkan ramai pengguna dari kelas pertengahan dan kaya melengkapkan rawatan kesihatan mereka dengan insurans.

“Saya terpaksa menunggu setahun untuk mendapatkan perkhidmatan ujian mamogram, jadi saya bayar RM400 kepada sebuah hospital swasta bagi mendapatkan perkhidmatan itu pada hari yang sama. Malangnya ia tidak dikembalikan (oleh syarikat insurans).

“Masalahnya ialah kebanyakan syarikat insurans kesihatan swasta ini tidak dikawal, menyebabkan timbul banyak aduan pengguna,” kata Dr Nik Rosnah di sini, semalam. – Bernama

Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz, sebelum ini memberitahu 20 peratus daripada aduan berhubung industri insurans membabitkan insurans kesihatan.

“Banyak syarikat insurans yang menipu di Malaysia. Kita ada dengar mengenai tuntutan tidak dijelaskan, banyak keadaan tidak dilindungi dan maklumat yang diberikan mereka tidak telus,” katanya.

Sementara itu, bagi golongan miskin yang bekerja dalam sektor tidak formal seperti petani dan peniaga kecil, mereka akan dibiarkan mengatasi sendiri masalah mereka jika ada anggota keluarga yang jatuh sakit.

“Banyak yang kita baca di akhbar mengenai golongan yang merayu bantuan orang ramai kerana memerlukan sumbangan untuk sesuatu pembedahan besar atau rawatan penyakit,” katanya. – Bernama
di petik dari siaran: http://mambau.blogsome.com/2005/06/23/

Sila perhatikan kenyataan dalam berita Bernama tadi:
"insurans kesihatan masih mahal dan tidak mampu dilanggan kira-kira 45 juta daripada rakyat Amerika sendiri”.

Saya amat risau, dan saya juga berharap kawan-kawan risau, sekiranya suatu hari nanti kita didatangi seorang pesakit yang mengadu masalahnya, tetapi tidak dapat dirawat. Ini adalah kerana tiada polisi Insurans Kesihatan yang melindunginya.

Itulah yang pernah ditonjolkan secara sengaja oleh Filem John Q lakonan Denzel Washington. Filem ini ditujukan kepada rakyat Amerika yang berhadapan dengan isu ini. Di dalam filem tersebut, Denzel Washington, selaku John Q yang melakonkan watak ayah, menghadapi kesukaran bagi melakukan pembedahan pemindahan jangtung bagi anaknya. Ini kerana polisi insurannya tiada peruntukan untuk membayar pembedahan jantung, dan dia tidak menyedari hal ini. Keadaan menjadi lebih teruk kerana pihak hospital tidak mahu melakukan pembedahan kerana Jonh Q tidak mampu. Akhirnya dia terpaksa mengugut pihak hospital bagi memastikan anaknya mendapat rawatan.

Berbalik kepada kesan isu ini, kesannya juga dalah terhadap jurang miskin-kaya yang akan makin ketara. Doktor dan bakal doktor mungkin tidak terkesan kerana kita orang "senang”. Tetapi kita akan terkesan sekiranya kita juga orang yang "prihatin”.

No comments:

Post a Comment