Sunday, 2 August 2009

Tawakkal VS Rawatan

Semalam, sebuah Radio Australia melaporkan di Amerika Syarikat, seorang bapa beragama Kristian didakwa di mahkamah kerana hanya berdoa dan tidak bertindak menyelamatkan nyawa anak remajanya. Disebutkan bahawa anak tersebut mati akibat penyakit Kencing Manis (Diabetes).

Didalam wawancara deejay Radio tersebut menemuramah seorang paderi. Soalan-soalan yang dikemukakan diselitkan dengan provokasi seperti “Bagaimana cara Tuhan menjawab permintaan seseorang, sedang dalam kes ini jelas anak tersebut tidak dibantu Tuhan…?” Mungkin tujuannya untuk menghidupkan perbincangan, mungkin juga dia seorang Free Thinker.

Apa penjelasan kita sebagai seorang Muslim? Kalaulah ini berlaku dalam kehidupan kita.

Merujuk buku "Healing with the Medicine of the Prophet” terjemahan berbahasa Inggeris bagi tulisan Imam Ibn Qayyim Al-Jauziyah dari bab ”Setiap Penyakit Mempunyai Ubatnya” (Every Sickness has a cure)

Imam Muslim meriwayatkan dalam Sahihnya, bahawa Nabi s.a.w bersabda:

"Setiap penyakit mempunyai ubatnya, apabila ubat yang betul digunakan pada sesuatu penyakit, maka ia sembuh dengan izin Allah.”

Juga diriwayatkan dalam Sahihan bahawa Pesuruh Allah bersabda:

"Allah tidak menurunkan sejenis penyakit melainkan diturunkan juga ubatnya.”

Seterusnya, Imam Ahmad meriwayatkan bahawa Usamah bin Shuraik menyebut:

"Saya sedang bersama dengan Baginda s.a.w di ketika beberapa orang Badwi kepadanya dan berkata, "Wahai Pesuruh Allah, patutkah kami mencari ubat?” Jawab Baginda, "Ya, Wahai Hamba Allah, Berubatlah, maka sesungguhnya Allah azza wa jalla tidak menjadikan penyakit melainkan dijadikannya juga ubatnya, melainkan satu penyakit.” Mereka berkata: "Apakah itu?” Jawab Baginda, "Tua.”

Tambahan pula, disebutkan di dalam Musnad (karangan Imam Ahmad) bahawa Baginda s.a.w. bersabda:

"Allah tidak menurunkan penyakit melainkan diturunkan juga ubatnya, sesiapa yang mengetahuinya (ubat), mengetahuinya; sesiapa yang tidak mengetahui maka tidaklah mengetahuinya.” (An-Nasai, Ibn Majah, Al-Hakim, dan Ibn Hibban.)

Juga, diriwayatkan di dalam Musnad (oleh Imam Ahmad) dan Sunan (At-Tirmidzhi dan Ibn Majah) bahawa Abu Khuzamah menyebut:

"Aku berkata ”Wahai Utusan Allah, berkenaan Ruqya (jampi di dalam Islam) yang kita gunakan, ubatan yang kami berubat dengannya, dan pencegahan yang kami cegah dengannya, adakah ini mengubah Takdir Allah?” Berkata Nabi "Ia adalah sebahagian daripada Takdir Allah”

Komentar Imam Ibn Qayyim saya ringkaskan:

1. Pernyataan Nabi bahawa semua penyakit ada ubatnya ini temasuklah bagi semua penyakit yang boleh dan tidak boleh disembuhkan, Cuma ubatnya yang tidak ditemukan atas kehendak Allah.

2. Untuk menyembuhkan, ubatnya perlulah ubat yang tepat
dos yang tepat dan diberi ubat pada masa yang tepat sesuai dengan keadaan tubuh badan.


3. Usaha mencari ubat juga tidak bertentangan dengan berharap sepenuhnya kepada Allah.

Seperti seseorang yang lapar perlu makan, yang dahaga perlu minum atau bertindak sesuatu ketika berasa panas tidak bertentangan dengan berharap pada Allah.

4. Bahkan sebaliknya, Ketauhidan (Percaya Keesaan Allah) hanya dapat disempurnakan dengan menerima dan bertindak terhadap penyakit-penyakit dengan susunan dan kaedah yang telah Allah suruh dan dapat membantu bagi kes-kes berkenaan.

5. Tidak menggunakan ubat juga akan melemahkan sifat Tawakkal seseorang walaupun seseorang itu mungkin memikirkan bahawa ia dapat menguatkan rasa tawakkalnya dengan cara tidak mengambil ubatan.

6. Hadith-hadith ini juga bertentangan dengan pendapat mereka yang tidak mencari penawar penyakit, seperti yang berkata ”kalau penyakit itu telah ditakdirkan terjadi, maka tiada gunanya berubat. Jika ubatnya juga tidak ditakdirkan, maka ubatnya juga tidak akan berkesan. ” Juga seseorang mungkin berkata ”Penyakit ini terjadi dengan kehendak Allah, tiada siapa dapat melawan takdir Allah”

Kesimpulan:
Maka jelaslah kepada kita, dengan Keimanan kepada Allah dan Rasul, maka kita perlu berusaha mengubati penyakit kerana ia disarankan sendiri oleh Nabi s.a.w. Ia tidaklah melambangkan kita lemah Tawakkal, bahkan sepatutnya kita semakin meningkat rasa keimanan kerana berubat itu sunnah Rasullullah.


Sesuai dengan konsep Tawakkal, maka carilah ubat kemudian berharaplah kepada Allah yang menyediakan penawar.



No comments:

Post a Comment