Friday, 21 August 2009

Bedah Buku Di Mesjid Annur

Sahabat dan pembaca sekalian,
Selamat Menyambut Ramadhan Al-Mubarak. Mudahan kita mencapai tujuan berpuasa seperti yang disebutkan di dalam Al-Quran "agar kamu bertakwa".
Sehari sebelum 29 Syaaban lepas kami ke Mesjid Annur untuk mendapatkan kepastian tarikh mula berpuasa.
Kami dimaklumkan bahawa rakyat Timor menuruti sidang Ithbat yang diadakan di Jakarta, Indonesia. Oleh yang demikian, oleh kerana pengumuman di Jakarta jam 8 mlm yang lewat 2 jam berbanding Timor Leste, maka pengumuman hanya dapat didengar jam 10 mlm waktu Timor Leste.
Namun, setelah solat maghrib, kami menyertai suatu program yang cukup tinggi nilainya...
BEDAH BUKU: Baca, Fahami, Amalkan....
Ayat 18 daripada Surah Ali Imran diatas antara kandungan tafsirannya, menunjukkan pengiktirafan Allah kepada orang yang berilmu. Mereka diiktiraf sebagai orang yang menyaksikan keesaan Allah setelah Malaikat. Sekaligus membuktikan kemuliaan orang yang berilmu - yang lebih tinggi dari 100 orang abid.
Sebulan yang lalu, Jawatankuasa Mesjid Annur telahpun menubuhkan Perpustakaan Annur. Suatu sudut di dalam mesjid ini telah dilengkapi dengan 3 almari cantik dari kayu jati, yang menempatkan sekitar 100 judul buku agama dan thesis berkenaan Islam serta Timor Leste.

Malam Jumaat itu, Suatu buku bertajuk Sukses Hidup Bersama Al-quran yang diterjemahkan dari tulisan bahasa Arab "Mafatihut Tadaburi Alquran Wa An-najah Fil Hayah" terbitan Januari 2008. (Maaf- saya tidak mendapatkan maklumat pengarang).
Sambutan program juga menggalakkan. Sekitar 60 orang hadir mendengar pembentangan tersebut.

Gambar: Antara Jemaah Muslimin yang hadir.
Sedikit perkongsian isi yang sempat "tercatitkan" (tatabahasa Indonesia)...
Pembentang menyebutkan bahawa tujuan beliau memilih buku ini adalah kerana merasakan Al-quran amat penting dijadikan panduan dalam rangka menyelesaikan masalah kehidupan. Apatah lagi ianya merupakan jawapan kepada kerumitan dan kekeliruan akibat peresapan ideologi dan "isme" cintaan manusia kepada umat manusia. Dengan harapan, kita dipandukan, oleh Al-quran, keluar dari kejahilan tersebut.
Maka buku tersebut, tampil memberikan panduan "Mentadabbur" Al-quran dalam rangka melawan kebejatan pemikiran-pemikiran yang sesat.
Takrif Tadabbur
Merenungi, memaknai, mengkaji, berusaha memahami.
Kenapa penting tadabbur

Sekiranya kita sekadar membaca Al-quran, tanpa memahaminya, maka kita secara tidak langsung akan mengurangkan makna Al-quran.

Selain itu, pembentang juga menyebutkan bahawa, antara ciri-ciri orang yang mentadabbur Al-quran ialah ia mencucurkan air mata, tatkala membacanya.

Kesalahan Mentadabbur

1)Salah memahami maksud ayat

2) Apabila tidak memahami ayat, tidak pula ia berusaha mempelajari maksud ayat tersebut.

Antara Kunci Memahami Al-Quran

1. Al-qalb.

Memahami bahawa hati adalah alat untuk memahami Al-quran dan ianya dalam genggaman Allah. Allah yang memahamkan seseorang.

(Minta dan berdoalah kepada Allah agar dibukakan dan dibersihkan hati bagi memahami Al-quran)

2. Ahdaf- Tujuan

Mengetahui tujuan kita membaca dan memahami Al-quran. Tentu sekali seorang mukmin yang mengharapkan redha tuhannya, tidak sama tujuannya membaca Al-quran berbanding seorang orientalis yang mahu merosakkan pemahaman umat Islam.

3. Solah-

Membaca di dalam solat adalah lebih afdhal.

4. Lail - Malam

Seperti yang disarankan di dalam Surah Muzammil agar kita membaca Al-quran semasa berqiamullail.

5. Usbu' - Seminggu

Menurut penulis, Kebanyakan sahabat mengkhatam al-quran dalam jangka masa seminggu.

P/s: Sayang sekali, beberapa catatan telah hilang dari PDA. Wallahua'lam

No comments:

Post a Comment