Macam mana nak dapat baju berjenama seperti Renoma, Bueberry, Mizuno, Slezenger, Dunhill, Polo, Baleno, Giordano, Pierre Cardin dan pelbagai lagi, dengan hanya USD 1????
Bahkan, kadang-kadang masih mempunyai tag jenama.
Jawapannya... pergilah ke Kedai-kedai "BUNDLE" di pasar-pasar Dili, Timor Leste.
Sekitar seratus kedai bundle yang menawarkan beribu-ribu pilihan baju menanti anda....
Pakaian "bundle", seperti juga di Malaysia diimport dalam guni-guni yang besar. Namun tidak semua pakaian di dalam guni tersebut berjenama. Bahkan ada pakaian yang bertanda "Made In Malaysia". Tidak kurang juga yang jenamanya tidak pernah di dengar seperti Hang Ten, tetapi jenama ini banyak sekali dan kualiti kainnya bagus. Mungkin ia jenama yang popular di China.
Oleh itu, sekiranya anda mahukan pakaian yang elok dan berjenama, kenalah rajin mencari.
Mereka yang "pakar" akan datang pada hari-hari guni pakaian dibongkar. Selalunya hari Minggu.
Apabila dibongkar sahaja guni-guni tersebut, lantas bermulalah acara "rebut-merebut"...
Namun, selera orang Timor berbeza. Tidak seperti orang Malaysia. Mereka tidak kisah sangat pada jenama, mungkin kerana tidak terdedah dengan jenama barat. Mereka lebih minat warna dan gaya yang menonjol...Jadi kami tidaklah perlu berebut dengan mereka.
Di Dili terdapat dua buah pasar yang besar, satu di Comorro dan satu lagi di Lahane. Comoro di selatan bandar Dili, manakala Lahane terletak di Timur Dili.
Apa yang istimewa?
Kedua-duanya luas. Untuk menghabiskan hampir 90% kedai-kedai "bundle" di kedua-dua pasar, kami keluar dari jam 10.30 pagi ke Pasar Comorro, berhenti jam 12.00 untuk makan tengahari, pukul 1.00 ke pasar Lahane dan pulang jam 3.15 petang. "Capek" kami berjalan.
Dianggarkan masing-masing berkeluasan lebih kurang 1 km persegi.Pasar-pasar ini juga menjadi rumah kepada orang-orang miskin.
Pelbagai gelagat dapat dilihat....
Bagi yang tiada kenderaan, sesetengah akan berjalan jauh dengan meng'kandar' bahan-bahan jualan. Ini termasuklah "mahluk Allah" diatas....hidup lagi tu...
Di celah-celah kesibukan pasar, ada pula tempat bermain "Pool"....
Ada juga yang suka menyabung ayam. Merata-rata di kawasan pasar ini anda dapat melihat orang menjaga, merawat dan membelek ayam sabung mereka.
Anak-anak kecil pulabermain apa jua bahan yang mereka jumpa. Di sinilah mereka tinggal dan di sinilah mereka membesar. Ramai yang perutnya kembung...kemungkinan jangkitan cacing.
Ibu bapa mereka tidak kisah? Sukar untuk dikomen. Namun, kehidupan yang susah mungkin menyebabkan mereka merasa ini suatu yang biasa... rezeki perlu terus dicari... mungkin banyak lagi perkara yang lebih penting untuk difikirkan demi mencari nafkah.
Kelihatan juga bertambun-tambun kayu api, melambangkan permintaan yang tinggi dan masih ramai yang menggunakan dapur arang. Ini juga menjadikan bukit-bukit sekitar Dili botak akibat aktiviti mencari kayu api yang berleluasa serta hakisan tanah.
Selain itu lain-lain bahan makanan asas yang biasa dijumpa dimana-mana pasar dapat diperoleh. Bijirin, bawang, jagung, kopi....
Di sini mereka menjual buah kelapa dengan cara mengopek kulit kerasnya. Kelapa dijual dengan tidak menghancurkan isi dalamnya.
Juga pelbagai jenama alat-alat kosmetik.
Disebalik apa yang kita lihat, saya pelajari lagi suatu permasalahan global....
Kewujudan pasar "Bundle" yang besar ini membuktikan situasi negara-negara miskin yang menjadi tempat buangan bahan-bahan yang kurang berkualiti.
Selain bundle, ubatan, kereta dan lain-lain bahan harian yang dijual di sini biasanya lebihan daripada negara maju atau membangun. Lain-lain bukti seperti berikut:
1. Banyak kali pesakit tempatan mengeluh kualiti ubatan di farmasi di Timor Leste yang tidak berkesan berbanding dengan ubatan yang didatangkan dari Malaysia.
2. Kereta-kereta berusia 5 tahun daripada Singapura dihantar dengan banyaknya ke sini.
3. Pisau cukur yang saya beli, berkarat dalam masa 1 hari, tumpul dan patah pada hari berikutnya.
4. Alatan besi dan elektronik juga berkualiti rendah di jual pada harga yang mahal.
Pada pendapat akal yang dhaif ini, penghantaran barangan yang kurang kualitinya tidak sepatutnya mengkompromikan hak manusia memperoleh keselamatan dan kesihatan yang berkualiti.
No comments:
Post a Comment