Showing posts with label Timor Leste. Show all posts
Showing posts with label Timor Leste. Show all posts

Friday, 21 August 2009

Nyawa Berharga 3USD

Kami menghadiri satu program latihan menembak UN, yang bertempat di Tapak Kuari Batu di Liquica. Alhamdulillah, tuhan tunjukkan kepada kita betapa manusia itu sanggup bergadai nyawa mencari sedikit rezeki buat menyambung kehidupan.

Kami bertemu dengan 3 pemuda yang bekerja mengorek batu-batuan.


Lihat sahaja ketinggian lereng bukit yang telah digali bagi mengeluarkan batu-batu.


Dalam gambar ini, lihatlah betapa bahayanya kerja ini. Mereka sanggup mengorek tanah yang polos, dibahagian bawah lereng untuk mengeluarkan batu. Mereka sedar (kerana kami menegur bahaya tersebut) bahawa tanah setinggi 2.5 meter diatasnya, boleh menimbus pada bila-bila masa sahaja.


Batu-batuan yang dikeluarkan disusun dalam bentuk kotak setinggi satu meter.

Harga batuan ini dibeli oleh pihak kuari dengan kadar 3 USD bagi setiap 1 meter persegi. Itulah harga nyawa manusia yang susah ini.....
Itu belum diperkirakan risiko menghidu habuk daripada batuan tu. Mereka ini terdedah kepada Penghiduan Kristal Silica yang menyebabkan penyakit yang disebut sebagai Silicosis. Ini boleh membawa kepada Kanser Paru-paru.
What Are the Symptoms: (dipetik daripada http://www.osha.gov/Publications/osha3176.html)
Silicosis is classified into three types: chronic/classic, accelerated,and acute.

Chronic/classic silicosis, the most common, occurs after 15–20 years of moderate to low exposures to respirable crystalline silica. Symptoms associated with chronic silicosis may or may not be obvious; therefore, workers need to have a chest x-ray to determine if there is lung damage. As the disease progresses, the worker may experience shortness of breath upon exercising and have clinical signs of poor oxygen/carbon dioxide exchange. In the later stages, the worker may experience fatigue, extreme shortness of breath, chest pain, or respiratory failure.

Accelerated silicosis can occur after 5-10 years of high exposures to respirable crystalline silica. Symptoms include severe shortness of breath, weakness, and weight loss. The onset of symptoms takes longer than in acute silicosis.

Acute silicosis occurs after a few months or as long as 2 years following exposures to extremely high concentrations of respirable crystalline silica. Symptoms of acute silicosis include severe disabling shortness of breath, weakness, and weight loss, which often leads to death.
Renungilah ayat Allah dibawah:




Bedah Buku Di Mesjid Annur

Sahabat dan pembaca sekalian,
Selamat Menyambut Ramadhan Al-Mubarak. Mudahan kita mencapai tujuan berpuasa seperti yang disebutkan di dalam Al-Quran "agar kamu bertakwa".
Sehari sebelum 29 Syaaban lepas kami ke Mesjid Annur untuk mendapatkan kepastian tarikh mula berpuasa.
Kami dimaklumkan bahawa rakyat Timor menuruti sidang Ithbat yang diadakan di Jakarta, Indonesia. Oleh yang demikian, oleh kerana pengumuman di Jakarta jam 8 mlm yang lewat 2 jam berbanding Timor Leste, maka pengumuman hanya dapat didengar jam 10 mlm waktu Timor Leste.
Namun, setelah solat maghrib, kami menyertai suatu program yang cukup tinggi nilainya...
BEDAH BUKU: Baca, Fahami, Amalkan....
Ayat 18 daripada Surah Ali Imran diatas antara kandungan tafsirannya, menunjukkan pengiktirafan Allah kepada orang yang berilmu. Mereka diiktiraf sebagai orang yang menyaksikan keesaan Allah setelah Malaikat. Sekaligus membuktikan kemuliaan orang yang berilmu - yang lebih tinggi dari 100 orang abid.
Sebulan yang lalu, Jawatankuasa Mesjid Annur telahpun menubuhkan Perpustakaan Annur. Suatu sudut di dalam mesjid ini telah dilengkapi dengan 3 almari cantik dari kayu jati, yang menempatkan sekitar 100 judul buku agama dan thesis berkenaan Islam serta Timor Leste.

Malam Jumaat itu, Suatu buku bertajuk Sukses Hidup Bersama Al-quran yang diterjemahkan dari tulisan bahasa Arab "Mafatihut Tadaburi Alquran Wa An-najah Fil Hayah" terbitan Januari 2008. (Maaf- saya tidak mendapatkan maklumat pengarang).
Sambutan program juga menggalakkan. Sekitar 60 orang hadir mendengar pembentangan tersebut.

Gambar: Antara Jemaah Muslimin yang hadir.
Sedikit perkongsian isi yang sempat "tercatitkan" (tatabahasa Indonesia)...
Pembentang menyebutkan bahawa tujuan beliau memilih buku ini adalah kerana merasakan Al-quran amat penting dijadikan panduan dalam rangka menyelesaikan masalah kehidupan. Apatah lagi ianya merupakan jawapan kepada kerumitan dan kekeliruan akibat peresapan ideologi dan "isme" cintaan manusia kepada umat manusia. Dengan harapan, kita dipandukan, oleh Al-quran, keluar dari kejahilan tersebut.
Maka buku tersebut, tampil memberikan panduan "Mentadabbur" Al-quran dalam rangka melawan kebejatan pemikiran-pemikiran yang sesat.
Takrif Tadabbur
Merenungi, memaknai, mengkaji, berusaha memahami.
Kenapa penting tadabbur

Sekiranya kita sekadar membaca Al-quran, tanpa memahaminya, maka kita secara tidak langsung akan mengurangkan makna Al-quran.

Selain itu, pembentang juga menyebutkan bahawa, antara ciri-ciri orang yang mentadabbur Al-quran ialah ia mencucurkan air mata, tatkala membacanya.

Kesalahan Mentadabbur

1)Salah memahami maksud ayat

2) Apabila tidak memahami ayat, tidak pula ia berusaha mempelajari maksud ayat tersebut.

Antara Kunci Memahami Al-Quran

1. Al-qalb.

Memahami bahawa hati adalah alat untuk memahami Al-quran dan ianya dalam genggaman Allah. Allah yang memahamkan seseorang.

(Minta dan berdoalah kepada Allah agar dibukakan dan dibersihkan hati bagi memahami Al-quran)

2. Ahdaf- Tujuan

Mengetahui tujuan kita membaca dan memahami Al-quran. Tentu sekali seorang mukmin yang mengharapkan redha tuhannya, tidak sama tujuannya membaca Al-quran berbanding seorang orientalis yang mahu merosakkan pemahaman umat Islam.

3. Solah-

Membaca di dalam solat adalah lebih afdhal.

4. Lail - Malam

Seperti yang disarankan di dalam Surah Muzammil agar kita membaca Al-quran semasa berqiamullail.

5. Usbu' - Seminggu

Menurut penulis, Kebanyakan sahabat mengkhatam al-quran dalam jangka masa seminggu.

P/s: Sayang sekali, beberapa catatan telah hilang dari PDA. Wallahua'lam

Friday, 31 July 2009

Kemasukan Indonesia


Bahagian ke 2 kepada terjemahan Sejarah Timor Leste

Fretilin ternyata dapat memainkan peranan dengan begitu berkesan apabila keamanan dapat dikembalikan, namun pada penghujung tahun tersebut, Indonesia telah bersiap-sedia untuk mengambil alih. Timor Timor dan Fretilin kini berhadapan dengan Indonesia secara bersendirian; tentu sahaja Portugis tidak akan lagi kembali. Pada 7 Disember, Indonesia telah melancarkan serangan ke atas Dili.

Sejak dari awal, pencerobohan tersebut telah ditentang hebat oleh askar Fretilin, yang benar-benar terbukti sebagai pejuang guerilla. Walaupun Indonesia telah mengishtiharkan Timor Timor sebagai jajahan ke 27 pada 16 Julai 1976, namun, Fretilin masih meneruskan serangan demi serangan sehingga tahun 1977. Sedikit demi sedikit, pertentangan antara kekuatan ketenteraan Indonesia melawan Fretilin yang tiada sokongan luar akhirnya menuntut korban jiwa.

Harga (korban) bagi menguasai Timor Timor adalah tinggi. Badan-badan Kemanusiaan Antarabangsa menganggarkan semasa pertempuran dan diikuti jangkitan wabak serta kebuluran telah meragut sekurang-kurangnya 100,000 nyawa. Kebanyakan penduduk telah dipindahkan atas sebab keselamatan dan terpisah daripada daerah asal mereka.

Pada 1989 Fretilin terpaksa berundur ke beberapa tempat perlindungan yang terletak jauh ke timur pulau tersebut dan ini meyakinkan Indonesia untuk membuka Timor Timor kepada para pelancong asing. Pada 12 November 1991, lebihkurang 1000 orong Timor Timor telah mengadakan demonstrasi di Perkuburan Dili bagi mengenang kembali kematian aktivis kemerdekaan dua minggu sebelumnya. Askar Indonesia telah melepaskan tembakan kepada penunjuk perasaan yang menyebabkan Timor Timor sekali lagi mendapat perhatian akhbar seluruh dunia. Kerajaan Indonesia yang berasa malu akibat insiden tersebut, mengakui bahawa 19 orang telah menjadi korban, namun, laporan-laporan lain menyatakan ianya lebih daripada itu.

Timor Timor berterusan menjadi ”duri” politik kepada Indonesia yang tidak mahu mengurniakan kemerdekaan. Walaupun aktiviti guerilla semakin lemah, namun, penduduk Timor Timor masih berdemonstrasi dan pertelingkahan biasanya dikahiri dengan penangkapan dan penyeksaan oleh badan berkuasa. Walaupun demonstrasi pelajar dengan mudah dapat disuraikan, namun rusuhan-rusuhan yang besar juga sering terjadi.

Apabila seorang Pegawai Indonesia dilaporkan telah menghina penganjur sebuah perhimpunan Kristian pada September 1995, maka rusuhan telah merebak di seluruh Timor Leste, dengan petempatan-petempatan orang-orang Indonesia menjadi sasaran kemarahan penduduk. Insiden yang serupa juga telah berlaku di Baguia pada Jun 1996 dan merebak ke Baucau. Pada tahun 1997, pilihanraya umum telah membangkitkan protes dan aktiviti guerilla, hinggalah melibatkan peristiwa pengeboman trak tentera.

Pada 1996, Bishop Carlos Belo dari Dili dan Jose Ramos-Horta, wakil Fretilin di Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu telah dikurniakan anugerah Keamanan Nobel kerana usaha-usaha menjelaskan (kepada Dunia) kesengsaraan oleh rakyat Timor Leste. Kerajaan Indonesia telah menegaskan pendirian untuk tidak memberikan kemerdekaan kepada Timor Leste. Bahkan, Indonesia tidak akan mempertimbangkan daerah jajahan kecil Timor Timor sebagai Daerah Istimewa (Special District), seperti Acheh dan Yogyakarta yang mempunyai autonomi terhad dalam Republic Indonesia. Tentera Indonesia telah menjalani pelaburan yang cukup tinggi. Selain daripada keinginan ekonomi, mereka juga telah kehilangan banyak pejuang di dalam peperangan, dan berkeras untuk menguasai Timor Timor, walaupun perbincangan untuk mengurangkan jumlah tentera dan usaha menyerahkan pemerintahan kepada pentadbiran sivil berjalan. Selagi Tetera ini berada di Timor Timor dalam jumlah yang besar, selagi itulah ia akan menjadi penguasa besar di sini, dan Timor Timor tidak akan mencapai kemerdekaan.

Bersambung.....

Monday, 20 July 2009

Tsunami 22 Julai!!!

Semalam hujan lebat dari pukul 6 petang hinggalah ke pagi tadi hampir pukul 7 masih renyai.
Mulanya aku gembira kerana sudah hampir sebulan tidak hujan. Lebihlah girangnya lagi kerana mengikut pengalaman orang di sini, sepatutnya tiada langsung hujan dari sekitar Jun hingga hingga beberapa bulan mendatang. Aku kira inilah rahmat tuhan.

Apatah lagi seawal pukul tujuh pagi aku juga menjadi bidan untuk seorang bayi di sebuah perkampungan. Aku diminta menamakan bayi itu. Apa namanya? akan ku ceritakan nanti. Tapi hatiku gembira..... dapat anak saudaralah kononnya... (rindu juga anak di Malaysia).

Tapi hatiku mula menjadi tidak enak apabila hari ini mendengar keluhan Ibu Norhayati, isteri pak Saifullah.

"Bapak kata, sepatutnya tidak hujan musim ini. Hujan ini petanda buruk..."

Rupanya hingga ke petang pun masih mendung....


Selepas solat Maghrib di Mesjid Annur, aku lihat langit berterusan mendung....

Terus fikiranku teringat sebuah hadith Nabi Muhammad.
Bab Meminta Perlindungan Daripada Allah Ketika Melihat Angin dan Mendung Serta Bergembira Dengan Turunnya Hujan
Hadis Aisyah r.a isteri Nabi s.a.w katanya:Biasanya apabila hari berangin atau mendung, wajah Rasulullah s.a.w kelihatan gelisah. Bila hujan mulai turun, wajah baginda menjadi berseri dan hilanglah kegelisahan baginda. Aisyah bertanyakan hal itu kepada baginda. Baginda menjawab: Aku bimbang angin atau mendung itu menjadi azab untuk menyeksa umatku. Jika baginda melihat hujan, baginda akan berkata: Itu adalah rahmat.
Nombor Hadis Dalam Sahih Muslim [Dalam Bahasa Arab sahaja]: 1495
Bab Tentang Angin Ribut Barat dan Angin Ribut TimurHadis Ibnu Abbas r.a:
Daripada Nabi s.a.w, baginda bersabda: Aku telah dimenangkan oleh angin ribut barat dan kaum Aad telah dihancurkan dengan angin ribut timur
Nombor Hadis Dalam Sahih Muslim [Dalam Bahasa Arab sahaja]: 1498
Teringat pula kata kawanku petang tadi, "22 Julai 2009 dijangka suatu gempa akan terjadi di Filipina. Asia tenggara dan Australia akan kena... carilah dalam internet"

Betul ke....??? Lagi 2 hari!!!!

Fikiran ku mula berkira-kira... 22 haribulan ni aku ingin berada di Mesjid. Takut-takut tsunami datang... Bekalan belum cukup... wasiat belum buat... pantai timur MAlaysia kena tak Tsunami? Anak dan Isteri disana!!!

Ya Allah...berilah jalan.

Keluar dari Mesjid aku melalui kawasan pantai. Aku lihat suatu pemandangan yang belum pernah aku lihat sebelum ini.



Subhanallah. Air laut berada di aras yang amat rendah. Dari tempat aku mengambil gambar diatas, sepatutnya pada aras biasa aku sudah lemas.... Yang Hitam itu adalah batu-batuan yang ditenggelami air laut pada aras biasa.... Sungguh luar biasa.

Semakin bergetarlah hatiku....aku berkira-kira hendak ajak Jamaah di Kem solat Hajat dan solat Taubat...

Apabila pulang ke Kem, aku layari internet dan terjumpa jawapan tentang Tsunami 22 Julai nanti. http://www.snopes.com/science/tsunami.asp

Isinya menafikan Tsunami berlaku... Aku sedikit lega

Tetapi ia juga menyatakan, Tsunami tidak dapat dijangka...Maka manusia itu sentiasa perlu berjaga-jaga!!!!

Mudahan Allah ampuni segala dosa....

Saturday, 18 July 2009

Sejarah Timor Leste

– Terjemahan dari buku Indonesia’s Eastern Islands, Peter Turner-
Pakaian Pahlawan Tradisional Timor Timur
Pada akhir abad ke 19, penguasaan kerajaan Portugis ke atas Timor Leste menjadi semakin lemah. Mereka sering ditentang oleh Luirai – pemimpin tempatan, dan Topass – keturunan daripada wanita berpengaruh, Orang-orang dan hamba Portugis dari Melaka dan India. Turut menentang dan membangkang adalah Misioneri Dominik (Dominican missionaries) .

Penentangan ini kemudiaanya melarat kepada siri-siri pemberontakan dari tahun 1893 dan 1912 yang menjadi peristiwa berdarah dan penindasan penjajah.

Bahkan, sejak lebih awal lagi, penguasaan koloni tersebut telah mula merudum; kesan daripada sumber kayu cendana yang semakin berkurangan dan penglibatan Potugis di dalam Perang Dunia Pertama. Ini akhirnya mengheret Timor Timur ke kancah kemelesetan ekonomi.

Sekiranya tidak kerana Timor Leste menjadi sumber kopi yang berkualiti tinggi dan tempat yang jauh untuk penyingkiran pemberontak, tentulah Timor Timur telah diabaikan. Penduduk asal Timor adalah merupakan petani yang berpindah-randah (pembakanran hutan untuk dijadikan ladang). Jagung menjadi tanaman pilihan mereka.

Semasa Peperangan Dunia Ke-2, walaupun Portugis dan jajahan seberang lautnya tidak berpihak (neutral), namun oleh kerana Pakatan (Allies) telah menjangkakan bahawa Timor akan digunakan oleh Jepun sebagai pengkalan untuk menyerang Australia. Beribu-ribu askar Australia telah dihantar ke Timor Timur, menlancarkan serangan guerilla yang mengalahkan 20,000 tentera Jepun, dengan melibatkan kematian 1500.

Kejayaan Australia adalah kerana sokongan daripada rakyat Timor Timur, yang tentu sekali melibatkan risiko yang dapat dijangka. Jepun telah memusnahkan kampung-kampung, merampas makanan dan membunuh orang tempatan di kawasan operasi Australia. Di kawasan-kawasan lain, Jepun melancarkan serangan ke atas Portugis, yang akhirnya menyebabkan kemusnahan yang mengerikan. Di akhir peperangan tersebut, antara 40,000 hingga 60,000 rakyat Timor Timur telah terkorban.

Selepas Perang Dunia Ke 2, Portugis telah kembali berkuasa. Hinggalah tahun 1974, serangan mengejut di Portugal telah menjatuhkan pemerintahan kuku besi Salazar (dictatorsip Salazar) dan kerajaan yang baru telah menyingkirkan saki-baki empiyer tersebut. Melihat kemungkinan Timor Timor yang bakal dimerdekakan, 2 buah parti besar iaitu – Social Demoktrat Timor (Timorese Social Demokcrats yang kemudiaanya dikenali sebagai Fretilin) dan Pertubuhan Demokratic Timor (Timorese Demokcratic Union – UDT) telah ditubuhkan. Parti ketiga, yang dikenali sebagai Apodeti, hanya memainkan peranan yang kecil. Namun, bercita-cita untuk mewujudakan penyatuan dengan Indonesia yang akhirnya menjadi proksi (front) bagi mencapai cita-cita Indonesia.

Walaupun kedua-dua parti besar ini “memperjuangkan” (advocate-menyokong) kemerdekaan, namun Fretilin dilihat mendahului UDT, dengan polisi sosial yang lebih radikal.

Pemimpin Indonesia telah berminat terhadap Timor Timur sejak 1940-an, di tambah pula dengan anggapan bahawa Fretilin adalah komunis, mereka mencari-cari alasan bagi menduduki Timor Timur.

Peta Timor Timur. Oekussi adalah Jajahan Timor Timur yang terasing di Kawasan Timor Selatan. Ia menjadi Milik Timor Timur kerana merupakan tempat pertama Portugis mendarat. Timor Selatan adalah di kawasan berwarna kelabu - Jajahan Indonesia

Peluang tersebut akhirnya tiba, apabila UDP telah melancarkan serangan "secara tiba-tiba" (coup) di Dili yang akhirnya menyebabkan peperangan civil terhadap Fretilin. Fretilin memiliki kelebihan kekuatan tentera yang akhirnya, pada penghujung Ogos, peperangan tersebut berakhir, dengan UDP berundur ke Timor Selatan.

Bersambung…. Penaklukan Indonesia

(Nota: Kepulauan Timor dikenali sekarang sebagai Nusa Timur Tenggara. Ia terbahagi kepada Timor Timur dan Timor Selatan yang dimiliki Indonesia)

Friday, 17 July 2009

Asal-usul dan kesedaran kita

Kota Peninggalan Portugis di Daerah Liquica, Timor Leste

Dulu saya pernah nyatakan yang orang-orang Tetum (penduduk asal Timor Leste) berasal daripada Kepulauan Melayu (Malaka).

Bukan itu sahaja…

Orang Asli (Aborigines – suatu kata nama khas) Australia adalah berasal daripada Asia Tenggara. Mereka telah berhijrah lebih kurang 30,000 tahun lampau, dengan menaiki sampan-sampan di dalam kumpulan yang besar. Pekerjaan awal mereka adalah pemburu dan mengutip sumber-sumber lain.

Bagi New Zealand, pendudukan awal adalah hanya pada 600 tahun lampau, yang dikenali dengan suku kaum Mauri (Maori). Mereka bekerja sebagai petani.

Kedatangan orang Eropah

1606 – Willem Jansz tiba di Selatan Australia. Beliau menjadi Belanda dan sekaligus dari Eropah yang orang pertama sampai.


1642 – Abel Tasman tiba di Selatan Australia. Kini tempat tersebut dinamakan Tasmania. Juga merupakan orang Belanda.

1770 – Penjelajah British, James Cook tiba di bahagian Pantai Timur Australia. Kawasan ini adalah kawasan yang subur.

Catatan James Cook

Saya telah banyak menjelajah dan belayar dan menjumpai pelbagai keajaiban. Di sini saya terjumpa suatu kaum yang lemah-lembut…tidaklah pada pandangan saya mereka inidari suku yang suka berperang. Bahkan, sebaliknya lebih kelihatan pemalu dan tidak suka memaksa (Inoffensive), tidak pula suka kepada keganasan.

Mereka juga tidak ramai. Mereka hidup dalam kumpulan-kumpulan kecil sepanjang kawasan pantai dan di gigi-gigi air seperti tasik, sungai dan paya. Mereka berhijrah mencari makanan.

Dari apa yang dilaporkan oleh para penjelajah, mereka mungkin kelihatan seperti kaum yang paling tidak bahagiaa di atas muka bumi ini berbanding kaum lain, tetapi mereka adalah lebih bahagia daripada kami di Eropah…

Mereka hidup dengan aman, dengan segala sumber bumi dan laut telah tersedia untuk keperluan asas kehidupan mereka…Pendek kata, mereka tidak perlu bergantung kepada apa yang orang Eropah boleh beri, dan tidak pula mereka akan meninggalkan sumber alam….

Rujukan:
Eastern Hemisphere, Social Studies for a Changing World

Fikirkan

Aku panjangkan pemerhatian tersebut hari ini, di sini, di Timor Leste.

Sungguhpun hidup mereka di sini susah, tertekan dan mungkin sesetengah orang yang senang akan menghina mereka, namun kesusahan menjadikan mereka tabah.

Kalau di Malaysia, adakah anak-anak kita akan ke sekolah sekiranya tidak dibelikan kasut baru setiap tahun? Kadang-kadang menangis nak kasut baru apabila baru setengah tahun.

Anak Timor Leste ke sekolah hanya memakai seliper.

Kalau di Malaysia, apa reaksi anak-anak sekiranya permintaan membeli “handphone” tidak ditunaikan? Kita pula tak keruan sekiranya handphone rosak beberapa hari…

Di sini anak-anak tidak perlu memikirkan keseronokan mempunyai handphone, tak akan menangis kerena tiada handphone…

Di Malaysia, surat-surat rasmi kita perlu ditaip dan berletter head….

Di sini, Institusi yang susah, surat rasminya hanyalah ditulis dengan tangan.

Di Malaysia kita mandi 2 hingga 3 kali sehari.

Mereka di sini, yang susah mandi 3-4 hari sekali, itu pun menggunakan air longkang.

Di Malaysia pakaian kita branded.

Di sini bundle 1 dolar, dari jenama yang tidak pernah kita dengar….

Sahabat, adik, kakak…..

Bukanlah ini penghinaan kepada kecanggihan Malaysia… tetapi suatu seruan untuk kita berfikir….

KITA DARI ASAL –USUL YANG SAMA…. takdir Allah kita berbeza

JAMES COOK PUN DAPAT MEMAHAMINYA…. kita?

SEANDAINYA SEMUANYA LENYAP DI MALAYSIA…. sudahkan bersedia?

Monday, 13 July 2009

Mereka dan Kita...



Waktu terlapang, aku menyelak dokumen yang ada. Aku terbaca catatan UN di dalam bahagian pendahuluan dalam Edisi Ke 2 Timor Leste District Atlas:

“Timor Timur terus-menerus berhadapan dengan pelbagai isu kompleks dan saling berkaitan, yang berhadapan dengan
(1) isu pelarian dalam negeri,
(2) bahkan lebih luas lagi, menyentuh hal keselamatan manusia.
(3) suatu negara muda yang berhadapan dengan masalah kemiskinan kronik
(4) amat terdedah kepada bencana alam
(5) kadar kemiskinan yang tinggi
(6) kekurangan bekalan makanan bermusim
(7) kadar penganguran yang tinggi
(8) mekanisma bagi meneruskan kehidupan
(9) urbanisasi Dili yang pesat
(10) kadar buta huruf yang tinggi
(11) kekurangan peluang ekonomi dan infra asas
(12) kurang jaringan keselamatan sosial
(13) keganasan gender
(14) penafian hak mengundi
(15) kelemahan sistem keselamatan
(16) kekurangan penginstitusian dan penggunaan kapasiti bajet untuk menjalankan tindakan intervensi.”

“Timor Leste continues to face a number of complex and interlinked issues that interface with the current internally displaced population issue (IDP’s) but also touch on broader human insecurities. Timor Leste is a young nation that faces chronic poverty and deeply rooted vulnerabilities in term of natural disasters, high incidence of poverty, seasonal food insecurity, high unemployment, subsistence coping mechanism, increasing Dili urbanization, high illiteracy, lack of economic opportunities and basic infrastructure, lack of social safety net, gender based violence, community disenfranchisement , lack of protection, and insufficient institutional and budget execution capacity to implement interventions.”

Selain itu, saya juga mendapati maklumat-maklumat diberikut:

Penduduk Timor Timur adalah seramai 1,080,742 pada 2008 (menurut unjuran banci 2004) – Malaysia 27 milion. Klang, Selangor sahaja dihuni oleh 1,055,207 penduduk.

Nisbah lelaki kepada wanita adalah 1:104. Malaysia 1.01 lelaki/perempuan.

Purata jumlah anak adalah 7 orang.

Purata umur berkahwin bagi lelaki adalah 27.0 dan perempuan 22.8 tahun.
Unjuran umur selepas lahir (life expectancy) 55.5 tahun manakala Malaysia 71.39 tahun.
Bagi anak-anak berumur 5 tahun kebawah, 136 akan meninggal dunia bagi setiap 1,000 orang.

Kadar kematian bayi bagi setiap 1000 kelahiran adalah 98 orang. Malaysia 19.66 orang bagi setiap 1000 kelahiran (2002).

Kadar Berat Badan dibawah aras normal yang teruk (severe underweight) bagi yang dibawah 5 tahun adalah 14.6%

Kadar Buta Huruf 54%. Namun, yang berumur 15-24 tahun, 73% berjaya menerima pendidikan. Kadar lulusan sekolah tinggi adalah 15% (18 tahun ke atas)

Kadar pengangguran 7.2% (Malaysia 3.7% - 2001). Peratusan yang menjadi pekebun biasa adalah 20%.

Kadar kebuluran 20% manakala 23% penduduk terdedah kepada kebuluran.

Sungguh berada di sini mengajar kita erti bersyukur kepada Allah yang mengurniakan nikmat yang besar kepada kita di Malaysia. Alhamdulillah

Sumber untuk data Malaysia:
1. http://en.wikipedia.org/wiki/Malaysia
2. http://www.tradeport.org/countries/malaysia/01grw.html

Anak-anak Tetum

Aku mula menulis semula selepas beberapa hari sibuk mengurus program untuk anak-anak di sebuah sekolah di kawasan bukit-bukau.


Kami akan menjalankan Program Jiwa Murni di Eskola Primaria No. 7, Fahite, Tibar.

Hari ini dalam perjalanan ke sekolah, aku lihat anak-anak berjalan kaki cuba menahan kenderaan yang kami naiki. Kalau aku menjadi mereka pun, aku akan buat perkara yang sama. Mana tidak, sesetengah dari mereka terpaksa berjalan kaki selama SEJAM untuk ke sekolah. Bukan berjalan ditanah rata, tetapi mendaki bukit!!

Hati ku sedih, sekadar berbisik, “maaflah adik-adik, kami tak dibenarkan membawa penumpang bukan UN....”. Peraturan ini telah ditetapkan oleh UN.

Ditangan-tangan kecil itu dapat ku lihat sesikat buah pisang. Buat bekalan ketika lapar.

Sampai disekolah aku disambut oleh senyuman-senyuman wajah suci.

"Ola, Botarde..." ucapku yang bermaksud, "Hello, Selamat Petang" Sebenarnya, waktu itu masih pagi... dan aku baru tahu yang aku tersilap ucap selepas bertanya semula kepada kawanku.

Patutlah mereka senyum.... :)

P/s: Nabi Muhammad menyuruh kita mengusap kepala anak-anak, ia melembutkan hati....

Wednesday, 8 July 2009

Anak Orang Tetum Itu

Gambar: Menyiapkan kerja sekolah di tepi "Round About"

Bangsa orang Timor Leste disebut sebagai bangsa Tetum. Mungkin diambil dari nama kerajaan asal di sini, iaitu kerajaan Tetum.

Orang Tetum itu hidupnya mudah. Mungkin dua perkataan yang sesuai menggambarkan hidup mereka ialah, hidup untuk mencari keperluan asas dan hiburan.

Seorang anak Timor Leste yang bersekolah sesudah bangun pagi, akan bersiap-siap untuk ke sekolah. Pakaian mereka juga mudah, tidak serumit pakaian anak-anak Malaysia.

Mereka tidak perlu basuh atau menyapu kapur pada kasut di hujung minggu. Ini kerana mereka tiada kasut seragam. Kasut mereka beragam-ragam. Pink, biru, kelabu, bunga-bunga dan macam-macam.

Ada antara mereka juga tidak perlu basuh stokin. Kerana tidak pakai stokin.

Ibubapa tidak pening kepala membelikan anak-anak beg sekolah yang mahal-mahal. Ini kerana mereka hanya ke sekolah paling banyak 4 buah buku. Tidak beli beg pun tidak masalah.

Yang cowok (lelaki) pakai baju kemeja dengan seluar panjang. Yang cewek (perempuan) berbaju kemeja dengan skirt. Baju pula tidak perlu diselitkan dalam seluar.

Mereka tidak perlu berlari-lari sekiranya lambat ke sekolah. Tiada pengawas yang menjaga pintu untuk ambil nama dan marah-marah. Setakat ini pun saya belum pernah melihat ada perhimpunan harian di sekolah. Bahkan, pada sebilang masa waktu pejabat, anda boleh lihat anak-anak berpakaian sekolah di merata-rata bumi Dilli.

Pola bersekolah hanya 2 jam sahaja. Nampaklah pada mata kasar, berbondong-bondong masuk ke sekolah jam 0830h, tapi keluarnya 1030h. Itu pun pada bila sahaja masa anda boleh melihat saki-baki mereka di mana-mana.

Suatu ketika, malam selepas sambutan merdeka, seorang anak perempuan ramaja tidak ke sekolah. Penat kerana berdansa dari pukul 9 sampai hampir-hampir subuh tamat. Ditanya mengapa tidak ke sekolah.

Jawabnya, ”kalau ke sekolah pun tidur, lebih baik tidak ke sekolah om!”

Teringat suatu pujangga, entah hadis entah kata-kata. Lebih baik masuk majlis ilmu, walaupun kita tertidur.

Hidup anak-anaknya mudah.

(bersambung)

Saturday, 4 July 2009

Misi Bermula

Aku bertugas sebagai pegawai perubatan yang telah ditentukan akan menyertai misi ”Malaysia Formed Police Unit – United Nasion Mission In Timor Leste”.

Suatu pagi sekitar jam 9, sebulan sebelum berangkat, aku menerima panggilan yang memaklumkan misi tersebut. Namun aku hanya di beri masa selama kurang 7 jam untuk membuat keputusan. Samada setuju atau tidak.

Pada mula aku berasa berat hati hendak meniggalkan keluarga, ibu, ayah, isteri dan anak yang baru berumur 9 bulan dan baru sahaja sembuh dari Pneumonia beberapa minggu sebelum berangkat.

Sungguh ilmu itu pelita hidup. Teringat suatu ketika aku pernah belajar dari seorang Ustaz yang mengajar tasauf dari Kitab Al-Hikam bahawa, ”hiduplah dalam arus Allah!”

Aku fahamai maksud pernyataan ini sebagai – buatlah sesuatu keputusan dalam hidup apabila jalan yang ditunjuk dipermudahkan dan bermanfaat.

Sungguh tak ku sangka, sms yang aku kirim kepada orang-orang tersayang, semuanya dijawab dengan mudah dengan memberi restu untukku pergi berjuang. Kegusaran di hati ku makin terurai.

Aku layari internet dan terus mencari maklumat tentang Timor Leste melalui Yahoo Search. Baru aku tahu – dan bagiku ia adalah suatu yang menarik – bahawa aku akan dihantar ke sebuah Negara yang 98% penduduknya adalah beragama katholik berbanding umat Islam yang hanya 1%.

Aku yakin sesuatu yang menarik aku ku jumpa di sana dan ia ternyata benar.

Selesai Solat Zohor, aku iringkan dengan Solat Istikharah, kerana jawapan harus diberi selewat-lewatnya pukul 4 petang. Aku juga berasa ringan.

Justeru, terus aku menelefon pegawai berkenaan untuk memberikan persetujuan.

Saturday, 27 June 2009

Pergi "Library" Tapi Sampai Malaka (?Melaka)

Hari ni saya ke Xanana Gusmao Reading. Ia terletak di pekan Dili berdekatan Palecia De Gaverno dan Pantai. Tapi semasa nak mencari tempat ni, dekat 3 kali pusing pekan dili tapi tak jumpa....
Di luar perpustakaan, anda akan di jemput dengan Mural ini. Sebenarnya, di seluruh dili, Mural atau Grafiti ada di merata-rata. Kalau di Malaysia kita menganggapnya suatu vandalisme, tapi disini persepsinya adalah sebagai tempat meluah perasaan penduduk.
Tengok pada gambar dua tangan bergenggaman tuh. Rantai dibawahnya terputus... mungkin menunjukkan perpaduan yang perlu bagi membebaskan diri daripada penjajahan....





Ianya adalah sebuah perpustakaan yang ringkas. Inilah satu-satu ruangan yang ada, yang dibahagikan kepada ruang-ruang kerja lebih kecil.

Untuk orang bukan penduduk tempatan, yuran pendaftaran adalah USD 10.

Jadi saya pun pilihlah beberapa buku untuk dibaca. Saya pilih buku cerita rakyat Timor Leste. Cari pertama yang saya baca ialah cerita "Buaya yang menjadi Timor Leste"!!! nak tahu ceritanya? Nantikan....

tetapi sejuus sebelum saya keluar daripada Reading Room ni, saya terjumpa suatu buku bertajuk Indonesian Timor Islands.

Saya terus mencari berkenaan Timor Timor - bahagian sejarah.

Terkejut saya kerana disebutkan Kerajaan Awal Tetum dikatakan berasal daripada....

MALAKA!!!!!

Thursday, 21 May 2009

Keinsafan Jumaat


Hari ni hari Jumaat. Penghulu segala hari. Di sini masuk zohor sekitar 1235 tgh. Jadi kami biasanya bertolak 1215 ke Masjid Annur.
Hari ni rasa nak tukar selera. Nak rasa naik lori dengan anggota lain. Kalau tak biasanya saya naik ambulance atau trooper dengan pegawai lain...


Memang jadi tabiat saya bila keluar pekan, kalau kenderaan tak ada aircond (buka tingkap) saya akan pakai facemask. Bukan nak "over" tapi kalau tak, bila balik nanti kena allergic rhinitis. Tak boleh buat kerja....


Lain-lain anggota yang duduk dibelakang lori...ciannya....


Baru je keluar pagar saya nampak Mercedes yang dibuat TEKSI!!! dah lama dah nama keta ni dok lalu di pekan. Hari ni baru boleh ambil gambar yang clear...


Ringkas cerita kami pun sampai... turun lori....

Semasa lalu tuh nampaklah kedai Bakso Halal... teringin la...tgk Kedai Pak Saifullah pun ramai orang...


Maka eloklah kita ingatkan diri kita berkenaan surah Al Juma'ah









Ingatlah juga ayat yang terkemudian dari surah yang sama...





Maka beredarlah diri ke mesjid...





Sebelum masuk saya tertarik kepada sekumpulan kanak-kanak yang duduk berdekatan anggota askar New Zealand. Anggota tu lengkap berpakaian. Agaknya non-muslim kerana nampak macam bertugas menjaga sesuatu... soalnya....Apa yang penting sangat hingga perlu dijaga??


Saya mendapati jawapannya kemudian...


Setiba ke dalam mesjid, para jemaah disambut oleh pemandangan taman kecil...

cantik mengingatkan diri kepada Rhaudah...


Hehe... tak perasan tadi masa ambil gambar bulan tu patah. Bawah ni pandangan sisi taman...


saya juga sempat ambil gambar pintu masuk...kenapa ambil???

Kerana sini semua alatan, kayu-kayan dan perabut dibuat daripada pokok Jati...

Seterusnya diri hambaMu ini bergerak ke tempat berwudhu'

Basuhlah anggota mu...mudahan minitis bersama dosa lalu dan dipelihara dari dosa mendatang.... Ameen

Berbagai bangsa seIslam mencari redhaNya

Dipandang lagi, maka saya dapat jawapan apa yang di jaga oleh anggota New Zealand di luar tadi...

Kawannya....

Bahkan saya ta'jub kerana..............




Anggota tersebut sedang belajar cara mengambil wudhu' dengan sahabat kita disebelah tu...


Saya agak, askar New Zealand ni baru masuk Islam.... tapi setakat ni saya belum mendekatinya...

Satu lagi perkara yang baik di sini ialah jenis paip yang digunakan...

simple dan menjimatkan air



Tekan butang melintang dibelakang untuk keluarkan air...

dilepas air berhenti lepas beberapa saat....

Nabi pun berpesan agar kita berjimat air bila mengambil wudhu....

Untuk maklumat, Masjid Annur menganjurkan halaqoh-halaqoh agama setiap hari... tiang-tiang dan kotak-kotak diatas diletakkan ditempat-tempat tertentu menandakan tempat berhimpun mingikut halaqoh-halaqoh yang ada...


Perhatian saya kemudiannya terus tertarik pada sahabat dari New Zealand tadi. Dia sedang belajar solat...


Sahabat tadi menegur dengan sopan...berbisik dan mengajar solat...



Dan menunjukkan cara duduk tahiyat kepadanya....

Saya berniat nak bertanya kepadanya, lantas bangun dan duduk di sebelahnya...


Saya perkenalkan diri dan menemuramah beliau... Nama beliau Mohd Najib

"I see you are learning about Islam?" I said

"Yes, I'm new to Islam, learning.."

"Since when you converted?"

"2 weeks ago..."

saya terus mencari sebab-sebab beliau masuk Islam.

Jelas Najib, beberapa bulan dulu dia berkenalan dengan seorang Perempuan Muslim di Jakarta, namanya saya tak ingat. Dia merupakan anak kepada seorang Jepun.

Sejak berkenalan, dia didedahkan kepada Islam. Dan ada membuat kajian sendiri...

Alhamdulillah, adalah lebih berharga Islam yang dicari dari yang diwarisi...selepas beberapa bulan beliau Mengucapkan 2 kalimah syahadah di Masjid Annur

Kemudian, semasa saya rancak berbincang, Pak Anwar membaca rekod kewangan seminggu lepas. Bacaan dibuat setiap minggu....

Sayng, tidak lama kami berbincang. Imam dah mula nak berkhutbah

Pelik tak... mana Azannya...?

Di sini tiada azan pertama. Imam terus bagi salam dan diikuti dengan Azan....

Saya tak ambil gambar semasa berkhutbah... demi menghormati pesanan nabi ...

Selesai solat, semua mula bergerak keluar.

Keinsafahan Jumaat bertaut, membelai ikatan Ukhuwwah...


Bertanya khabar sesama muslim...




Membina ikatan terpisah....
MAka, berbondonglah keluar mencari rezeki...



Meninggalkan Masjid Annur yang kembali sepi...



Mudahan berjumpa lagi minggu hadapan.... akan ku nantikan Najib untuk membina ikatan...
Dalam perjalanan pulang, kami di sahut hujan lebat dan laut bergelora....

Bergetarlah hati teringat kisah Tsunami 2005...




YA ALLAH...AMPUNILAH DOSA KAMI SEMUA, TEMPATKAN HAMBAMU KE SYURGA,
BEBASKAN DARI AZAB NERAKA....