Monday, 13 July 2009

Anak-anak Tetum

Aku mula menulis semula selepas beberapa hari sibuk mengurus program untuk anak-anak di sebuah sekolah di kawasan bukit-bukau.


Kami akan menjalankan Program Jiwa Murni di Eskola Primaria No. 7, Fahite, Tibar.

Hari ini dalam perjalanan ke sekolah, aku lihat anak-anak berjalan kaki cuba menahan kenderaan yang kami naiki. Kalau aku menjadi mereka pun, aku akan buat perkara yang sama. Mana tidak, sesetengah dari mereka terpaksa berjalan kaki selama SEJAM untuk ke sekolah. Bukan berjalan ditanah rata, tetapi mendaki bukit!!

Hati ku sedih, sekadar berbisik, “maaflah adik-adik, kami tak dibenarkan membawa penumpang bukan UN....”. Peraturan ini telah ditetapkan oleh UN.

Ditangan-tangan kecil itu dapat ku lihat sesikat buah pisang. Buat bekalan ketika lapar.

Sampai disekolah aku disambut oleh senyuman-senyuman wajah suci.

"Ola, Botarde..." ucapku yang bermaksud, "Hello, Selamat Petang" Sebenarnya, waktu itu masih pagi... dan aku baru tahu yang aku tersilap ucap selepas bertanya semula kepada kawanku.

Patutlah mereka senyum.... :)

P/s: Nabi Muhammad menyuruh kita mengusap kepala anak-anak, ia melembutkan hati....

Wednesday, 8 July 2009

Anak Orang Tetum Itu

Gambar: Menyiapkan kerja sekolah di tepi "Round About"

Bangsa orang Timor Leste disebut sebagai bangsa Tetum. Mungkin diambil dari nama kerajaan asal di sini, iaitu kerajaan Tetum.

Orang Tetum itu hidupnya mudah. Mungkin dua perkataan yang sesuai menggambarkan hidup mereka ialah, hidup untuk mencari keperluan asas dan hiburan.

Seorang anak Timor Leste yang bersekolah sesudah bangun pagi, akan bersiap-siap untuk ke sekolah. Pakaian mereka juga mudah, tidak serumit pakaian anak-anak Malaysia.

Mereka tidak perlu basuh atau menyapu kapur pada kasut di hujung minggu. Ini kerana mereka tiada kasut seragam. Kasut mereka beragam-ragam. Pink, biru, kelabu, bunga-bunga dan macam-macam.

Ada antara mereka juga tidak perlu basuh stokin. Kerana tidak pakai stokin.

Ibubapa tidak pening kepala membelikan anak-anak beg sekolah yang mahal-mahal. Ini kerana mereka hanya ke sekolah paling banyak 4 buah buku. Tidak beli beg pun tidak masalah.

Yang cowok (lelaki) pakai baju kemeja dengan seluar panjang. Yang cewek (perempuan) berbaju kemeja dengan skirt. Baju pula tidak perlu diselitkan dalam seluar.

Mereka tidak perlu berlari-lari sekiranya lambat ke sekolah. Tiada pengawas yang menjaga pintu untuk ambil nama dan marah-marah. Setakat ini pun saya belum pernah melihat ada perhimpunan harian di sekolah. Bahkan, pada sebilang masa waktu pejabat, anda boleh lihat anak-anak berpakaian sekolah di merata-rata bumi Dilli.

Pola bersekolah hanya 2 jam sahaja. Nampaklah pada mata kasar, berbondong-bondong masuk ke sekolah jam 0830h, tapi keluarnya 1030h. Itu pun pada bila sahaja masa anda boleh melihat saki-baki mereka di mana-mana.

Suatu ketika, malam selepas sambutan merdeka, seorang anak perempuan ramaja tidak ke sekolah. Penat kerana berdansa dari pukul 9 sampai hampir-hampir subuh tamat. Ditanya mengapa tidak ke sekolah.

Jawabnya, ”kalau ke sekolah pun tidur, lebih baik tidak ke sekolah om!”

Teringat suatu pujangga, entah hadis entah kata-kata. Lebih baik masuk majlis ilmu, walaupun kita tertidur.

Hidup anak-anaknya mudah.

(bersambung)

Saturday, 4 July 2009

Kisahku: Penyakit Misteri – Allah Menyentuh Hati

3.30 pagi 4 Julai 2009

Aku yang sedang tidur terkejut.

”Doktor, Ahmad (bukan nama sebenar) sakit perut. Ada di klinik...”

Lantas hilang rasa mengantuk. Aku sedia tahu yang Ahmad (Mat) ada penyakit Prolapse Intervetebral Disc (terseliuh rawan tulang belakang) . Sebelum ini sudah dua kali dia kena serangan akut yang menyebabkan Ahmad tidak dapat bergerak. Aku fikir, dia kena serangan lagi. Tanpa lengah aku terus ke klinik.

Aku juga masih teringat, pkul 11 malam tadi, Ahmad yang memegang ubat Panadol dan ubat batuk kerana demam selsema, berkaraoke. Dia menyanyi sebuah lagu rock di tengah halaman kem kami. Aku ingat kerana aku menegurnya, masakan seseorang yang demam boleh berkaraoke....

********************************************************************************************

”Doktor, saya tengok ada ketulan diperut Ahmad. Apabila dipegang akan lari ke tepi dan ke dada..!!!” kata Sarjan Ramli, pembantu perubatanku yang sejak awal menenangkan Ahmad.

Aku kehairanan kerana Ahmad kali ini tidak sakit di belakang. Malah, kata-kata pembantuku juga adalah suatu yang pelik... lebih tepat luarbiasa.

Aku pada mulanya agak tidak mempercayai kata-kata Ramli. Justeru, aku terus menuju kapada Ahmad yang melentikkan badan, keras dan mengerang kesakitan.

”Mat, sakit mana? Beritahu saya!!!”

Ahmad tidak menjawab. Dia terus mengerang kesakitan, sambil tangannya memegang perut. Kadang-kadang aku lihat Ahmad semacam tercungap-cungap, seolah-olah orang yang nazak hendak mati. Aku risau kalau-kalau betul dia sedang nazak.....

Aku kuatkan suara: ”sakit mana Mat!!! Bagitaulah (Beritahulah).” Loghat utaraku mula keluar. Sukar untuk berfikir dengan baik dalam keadaan cemas seperti ini. Namun tetap tiada jawapan.

”Sarjan, ambil BP (tekanan darah)!” arahku.

”Sarjan Din, prepare IM voltaren 75mg stat!” aku lanjutkan permintaan kepada seorang lagi pembantu perubatanku.

Oleh kerana pembelajaran perubatan semasa di universiti menggunakan Bahasa Inggeris, maka kami terbawa-bawa semasa bekerja.

Maksud arahanku ialah untuk menyediakan suntikan ke dalam otot jenis ubat Voltaren sebanyak 75 miligram dengan segera. Voltaren adalah ubat untuk mengawal rasa kesakitan.

Sementara mereka menyediakan permintaanku, aku memeriksa Ahmad. Aku pegang perutnya. Ternyata ada ketulan di ulu hatinya (epigastrik). Ketulan tersebut sebesar bola golf dan sakit apabila ditekan.

Di saat itu, apa yang aku risau ialah salur arteri abdomen (abdominal aorta) Ahmad bengkak dan pecah. Sekiranya ini benar, maka bonjolan tadi akan berdenyut, sepertimana nadi dipergelangan tangan, atau di leher.

Ternyata bonjolan itu tidak berdenyut. Maka ia bukanlah arteri yang bengkak atau pecah.

Aku juga memikirkan kemungkinan sejenis Uluran (Hernia). Tetapi tidaklah bonjolan itu membesar semasa Ahmad batuk, seperti yang diajarkan dalam teori.

Sedikit kelegaan terasa, namun aku belum dapat memastikannya. Dalam bidang perubatan, teori tidak selalunya seperti realiti.

Lega jugalah kerana ia tidaklah bergerak-gerak seperti dakwa Sarjan Ramli. Aku agak, mungkin ia kelihatan bergerak-gerak kerana postur tubuh Ahmad yang tidak tetap kerana kesakitan.

Aku juga tidak dapat pastikan ianya dari dalam rongga perut, atau otot atau kulit kerana Ahmad tidak berhenti bergerak dan tidak dapat menurut arahan. Namun bonjolan itu sentiasa dapat dilihat dengan mata kasar.

Kulitnya kelihatan biasa sahaja....Lain-lain kawasan perutnya normal. Tekanan darahnya juga biasa.

Aku capai stetoskop. Aku letakkan pada bonjolan tersebut. Tiada bunyi denyutan.

Aku lanjuti pemeriksaan jantung dan paru-paru. Semuanya normal. Maka, makin terurai kerisauan kerana, sesak nafas Ahmad bukanlah kerana dia nazak. Tetapi kerana kesakitan.

Sarjan Din telah selesai memberikan Voltaren. Alhamdulillah, Ahmad mula kelihatan tenang, lega dari kesakitan. Perlahan-lahan dia terkulai, lantas tertidur....

Di luar klinik, ramai yang berkumpul. Biarpun pagi itu sejuk, jam pula baru pukul 4 pagi, namun kekecohan yang berlaku menjadikan kem kami gempar. Ada yang mula memikirkan yang Ahmad diserang mahkluk halus.

Aku meminta Sarjan Din menyiapkan saluran intravena. Ianya sejenis alat saluran plastik, yang dicucuk kedalam salur darah dan dilekatkan pada kulit. Ianya untuk memudahkan ubatan dan air tambahan diberikan kepada pesakit.

Tidak lama kemudian, Ahmad terjaga. Dia kelihatan kehairanan, diam memikirkan sesuatu.

”Mat, macam mana rasa?” tanyaku.

Dia kelihatan terus kehairanan, melihat persekitaran klinik. Melihat terdapatnya salur intravena pada lengan kanannya. Melihat dia dikelilingi oleh ramai orang....

”Mat, tahu tak mat ada di mana ni? Sekarang Mat di klinik.” Jelasku. ”Tahu tak apa yang jadi tadi?”

”Tak...” jelas Mat lemah. ”Macamana saya ada di sini ni???”

Aku sedikit gempar mendengar soalannya. Agakku kejadian dia mengerang kesakitan tadi mungkin mengigau..... sebab itu dia tidak ingat.

Setelah ditanya, Ahmad menjelaskan yang kini dia tidak berasa sakit perut. Bahkan dia ingin mencabut saluran intravena tadi kerana berasa sihat dan tidak selesa. Oleh yang demikian, aku ceritakan kembali semua perkara yang terjadi dan meminta Ahmad tetap berada di klinik sehingga hari cerah.

Seorang rakan Ahmad yang menganggap peristiwa tadi sebagai mainan makhluk halus, menghulurkan sedikit air Yaasin untuk diminum. Aku biarkan sahaja....

Sebaik sahaja air itu menyentuh rongga mulut Mat, dia sekali lagi menjerit sakit perut.

”Kenapa ni?? Kenapa ni??” Ahmad bertanya sambil memegang bonjolan tadi.

Dia kelihatan seperti hendak muntah tetapi tiada apa yang keluar dari mulutnya. Bak kata orang melayu – ’muntah angin’.

”Aaahhhhhh!!!!” dia melentik-lentikkan badan kesakitan seperti awal tadi. Aku dapat melihat urat lehernya menegang seperti orang hendak mengamuk membunuh orang kerana marah. Sesekali bernafas macam orang nazak.

Aku duduk dibelakang Ahmad. ”Mat, cuba nafas satu-satu. Sabar ye...”

Aku minta orang sekitar membaca ayatul kursi, dan tidak lagi memberikan air kepadanya. Bukannya aku tidak percaya Khasiat Air Yaasin, tetapi aku tidak pasti adakah ini masalah perubatan fizikal atau spiritual. Kalau fizikal, maka dari ilmu perubatan dia tidak patut diberi minuman. Kalau spiritual, ada alternatifnya selain daripada memberikan air yang mungkin memudharatkan fizikal.... sebab itu aku suruh mereka membaca ayatul kursi.

Akhirnya, Ahmad kembali tenang dan tertidur.

Aku biarkan sahaja dia terus tidur. Biarkan dia berehat.

Setelah tempat pembaringan tadi dikemas, dan Ahmad diselimutkan, aku memberikan arahan kepada pembantuku untuk terus memerhatikannya. Esok, aku akan menghantarnya kepada Klinik Pakar Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu untuk pemeriksaan darah dan x-ray, selain mendapatkan pendapat pakar....

********************************************************************************************Sejak Peristiwa pagi tadi, bermacam-macam ”teori” dikatakan oleh penghuni kem. Aku tidak membantah satu pun darinya. Kerana Islam mengajar kita beriman kepada perkara-perkara ghaib.

Tidak pula aku layani kata-kata mereka yang ber”teori” itu kerana aku perlu pastikan ia bukanlah sesuatu yang boleh aku lakukan dari segi ilmu perubatan. Ilmu ghaib bukanlah sesuatu yang aku dalami dan aku tahu ubati.

Apabila Ahmad pulang daripada klinik, aku dijelaskan bahawa pakar-pakar Klinik PBB tidak mendapat membuat diagnosa tepat daripada penyakit Ahmad.... mereka sekadar mengagak ianya adalah bengkakan otot abdomen Ahmad dan meminta kami menghantarnya segera jika serangan tersebut terjadi lagi.

Aku bisikkan pada diri...”Apa lagi yang boleh aku buat?? Aku pun tidak pasti apa sebenarnya terjadi...”

Selesai solat maghrib disurau, aku berbincang dengan Sarjan Him. Dia pernah mengambil kelas agama empat Thanawi tetapi tidak tamat. Dia juga sering menjadi imam di surau kami.

Aku fikir, ianya suatu usaha untuk Ahmad. Bahkan, tarbiyyah kepada semua bahawa, kita perlu ingat sentiasa dan memohon pertolongan kepada Allah yang Esa...

Kami akhirnya setuju untuk mengadakan solat hajat untuk Ahmad.

”Sarjan ajak Ahmad datang sekali naa...” mintaku kepada nya yang juga berasal dari utara.

”Dia mana pernah mai (datang) surau...” balasnya.

”Hmmm...sebab tulah kena ajak dia...” kata ku mudah.

Selesai solat isyak Sarjan Him membuat pengumuman untuk solat hajat untuk Ahmad. Ahmad juga hadir di barisan hadapan. Kali pertama aku lihat Ahmad di surau.

Selesai solat hajat, kami semua bersalaman sambil berselawat....

Ahmad yang berhampiran denganku adalah orang pertama yang aku salam.

”Tuan, terima kasih....” bisiknya sebak.

Aku lihat matanya basah hendak menangis....

**************************************************************************

Mudahan Allah selesaikan masalahnya dan memberikan hidayah kepada kami semua....

Misi Bermula

Aku bertugas sebagai pegawai perubatan yang telah ditentukan akan menyertai misi ”Malaysia Formed Police Unit – United Nasion Mission In Timor Leste”.

Suatu pagi sekitar jam 9, sebulan sebelum berangkat, aku menerima panggilan yang memaklumkan misi tersebut. Namun aku hanya di beri masa selama kurang 7 jam untuk membuat keputusan. Samada setuju atau tidak.

Pada mula aku berasa berat hati hendak meniggalkan keluarga, ibu, ayah, isteri dan anak yang baru berumur 9 bulan dan baru sahaja sembuh dari Pneumonia beberapa minggu sebelum berangkat.

Sungguh ilmu itu pelita hidup. Teringat suatu ketika aku pernah belajar dari seorang Ustaz yang mengajar tasauf dari Kitab Al-Hikam bahawa, ”hiduplah dalam arus Allah!”

Aku fahamai maksud pernyataan ini sebagai – buatlah sesuatu keputusan dalam hidup apabila jalan yang ditunjuk dipermudahkan dan bermanfaat.

Sungguh tak ku sangka, sms yang aku kirim kepada orang-orang tersayang, semuanya dijawab dengan mudah dengan memberi restu untukku pergi berjuang. Kegusaran di hati ku makin terurai.

Aku layari internet dan terus mencari maklumat tentang Timor Leste melalui Yahoo Search. Baru aku tahu – dan bagiku ia adalah suatu yang menarik – bahawa aku akan dihantar ke sebuah Negara yang 98% penduduknya adalah beragama katholik berbanding umat Islam yang hanya 1%.

Aku yakin sesuatu yang menarik aku ku jumpa di sana dan ia ternyata benar.

Selesai Solat Zohor, aku iringkan dengan Solat Istikharah, kerana jawapan harus diberi selewat-lewatnya pukul 4 petang. Aku juga berasa ringan.

Justeru, terus aku menelefon pegawai berkenaan untuk memberikan persetujuan.

Saturday, 27 June 2009

Pergi "Library" Tapi Sampai Malaka (?Melaka)

Hari ni saya ke Xanana Gusmao Reading. Ia terletak di pekan Dili berdekatan Palecia De Gaverno dan Pantai. Tapi semasa nak mencari tempat ni, dekat 3 kali pusing pekan dili tapi tak jumpa....
Di luar perpustakaan, anda akan di jemput dengan Mural ini. Sebenarnya, di seluruh dili, Mural atau Grafiti ada di merata-rata. Kalau di Malaysia kita menganggapnya suatu vandalisme, tapi disini persepsinya adalah sebagai tempat meluah perasaan penduduk.
Tengok pada gambar dua tangan bergenggaman tuh. Rantai dibawahnya terputus... mungkin menunjukkan perpaduan yang perlu bagi membebaskan diri daripada penjajahan....





Ianya adalah sebuah perpustakaan yang ringkas. Inilah satu-satu ruangan yang ada, yang dibahagikan kepada ruang-ruang kerja lebih kecil.

Untuk orang bukan penduduk tempatan, yuran pendaftaran adalah USD 10.

Jadi saya pun pilihlah beberapa buku untuk dibaca. Saya pilih buku cerita rakyat Timor Leste. Cari pertama yang saya baca ialah cerita "Buaya yang menjadi Timor Leste"!!! nak tahu ceritanya? Nantikan....

tetapi sejuus sebelum saya keluar daripada Reading Room ni, saya terjumpa suatu buku bertajuk Indonesian Timor Islands.

Saya terus mencari berkenaan Timor Timor - bahagian sejarah.

Terkejut saya kerana disebutkan Kerajaan Awal Tetum dikatakan berasal daripada....

MALAKA!!!!!

Friday, 12 June 2009

Ber"Baitul Muslim" di Makam Sunan Ampel Surabaya


Apa agaknya sahabat-sahabat fikir bila tengok tajuk post ni???

Sebenarnya semasa pulang dari timor Leste tempoh hari, saya berpeluang singgah ke Makam Sunan Ampel di Surabaya. Sungguh saya bersyukur sebab ditentukan bertemu dengan suatu makam yang mempunyai seribu satu pengajaran. Yang salah satunya akan saya nyatakan....

Untuk ke makan tuh, saya menaiki beca ni... ongkosnya 10,000 Rupiah je...one way. dari Jalan Semut, tampat hotel semut satu bintang yang kami tinggal... orang Indonesia boleh naik 2 orang kot, untuk orang Malaysia Sorang je muat (konon-konon semua orang Malaysia sama besar macam saya la kan...)




Makam sunan Ampel Terletak berhampiran pusat bandar surabaya. Ianya adalah suatu kawasan pada komuniti Muslim.



Apabila hampir sampai, kami melalui suatu kawasan pasar orang-orang Islam. Macam-macam barang yang anda hanya dapat bila kawan-kawan atau sedara-mara balik mekah semua ada disini. Harga pun berpatutan...




Siapa sebenarnya Sunan Ampel ni? Apa pulak kaitannya dengan Baitul Muslim??? Semua jawapan ini saya perolehi setelah singgah di kiosk pertanyaan ini...

Saya taklah bertanya disini, tetapi sekadar membeli sebuah buku bertajuk "fotostat" bertajuk Wali Songo hasil terjemahan K.H. Dachlan.

Sunan Ampel adalah salah seorang daripada wali songo yang terkenal di Indonesia. Tidaklah seperti yang saya sangka....

Untuk pengetahuan semua, sebenarnya wali songo adalah sembilan orang ulama' berkaromah yang di hantar oleh kerajaan Turki Uthmaniah, semasa pemerintahan Sulatan Muhammad 1 di turki. Setelah baginda mendapat tahu dari pedagang gujerat, India bahawa terdapat dua kerajaan hindu yang kuat di Majopahit dan Pejajaran, maka baginda menitahkan penghantaran ulama'-ulama tersebut. Untuk sesi pertama, mereka dihantar tahun 1404 M/808 H, 600 tahun lampau. Portugis pun belum sampat ke Timor Leste...hehehe.


Mereka adalah:
1. Maulana Malik Ibrahim dari Turki. Ahli Atur Negara (pinjam ayat penulis buku- tak taulah samaada politik atau management) Wafat di Grisek Jawa Timor.

2. Maulana Ishaq dari Samarkhand (dekat Bukhoro, Rusia Selatan). Ahli dalam Perubatan. Wafat di Singapura.

3. Maulana Ahmad Jamadil Kubro dari Mesir. Berdakwah menumpaskan berhala-berhala. Wafat di Jawa Timur

4. Maulana Muhammad Al Maghrobi dari maghrib Maroko. Menumpaskan berhala-berhala. Wafat di Jawa Tengah.

5. Maulana Malik Isro'il dari Turki. Ahli mengatur negara. Wafat di Jawa Barat.

6. Maulana Muhammad Ali Akbar, dari Parsi, Iran. Ahli Perubatan. Wafat di Gunung Santri, Chilegon.

7. Maulana Hasanuddin, dari Palestin. Berdakwah menumpaskan berhala-berhala. Wafat di Masjid Banten Lama.

8. Maulana Aliyudin.Dari Palestin, berdakwah menumpaskan berhala. Wafat di masid Banten Lama.

9. Syeh Subakir, dari Persia Iran, menumbali (menjampi) tanah angker (sihir). Wafat setelah kembali ke Persia.

Adapun, setelah beberapa orang dari wali-wali tersebut wafat, maka ada pengganti mereka. Penggantian tersebut berlaku selama empat kali, yang mana saya tidak detailkan kesemua mereka.

Balik kepada Sunan Ampel, beliau adalah pengganti begi sesi kedua. Beliau menggantikan Maulana Malik Ibrahim yang wafat pada 1419M. Nama sebenar beliau adalah Raden Muhammad Ali Rahmatullah, datang pada 1421M berasal dari Muang Thai Selatan. Beliau Wafat pada 1478M.


Gambar: Mesjid Ampel (lama) p/s: yang baru dalam pembinaan.

Kisah kedatangan beliau amat menarik....berkait dengan baitul Muslim, bahkan lebih besar lagi...Negara Muslim.

Setelanh Maulana Malik Ibrahim Wafat, maka Maulana Ishaq bercadang untuk mendatangkan saudaranya sebapak iaitu Sunan Ampel yang merupakan cucu kepada Raja Campa. Setelah berunding dengan wali-wali lain, maka berangkatlah Maulana Ishaq ke Campa.

Lihatlah ketertiban orang terdahulu, bermesyuarat untuk membuat keputusan, merantau jauh untuk agama Islam.

Setelah berunding dan dipersetujui oleh raja Campa, maka dihantar satu rombongan persahabatan dari Campa ke Raja majopahit.

Disinilah peranan Baitul Muslim....

Maka, Raja Majopahit gembira kerana mendapat puteri raja campa yang cantik dan halus budinya untuk dijadikan isteri. Diadakanlah jamuan, perkahwinan Raja Brawijaya dengan Puteri campa.

Kerana terlalu gembira, Baginda memberikan semua 80 orang isterinya kepada adipati-adipati dan bupati-bupati.

Lihatlah bagaimana puteri campa mula memainkan peranannya. Pada pandangan saya, seseorang muslimat tentu tidak dapat melakukan sedemikian kalau tidak dibentuk dan ditarbiah...

Puteri Campa sangat dicintai dan dituruti oleh Raja Majopahit. Puteri campa memberitahunya,

"Bila manusia suka berjudi, maka akan bermaharajalela pencurian, perompakan dan korupsi. Dan apabila manusia mabuk, maka akan mudah membocorkan rahsia peribadinya, temannya dan negaranya. Hal ini sangat merbahaya bila melanda para adipati dan bupati serta anak-anak mereka. Saya mempunyai keponakan ahli mendidik dalam masalah ini, namanya ALI RAHMATULLAH (SUNAN AMPEL)."

Maka didatangkanlah Sunan Ampel. Oleh kerana raja Majopahit sangat kagum dengan ketampanan dan ketulusan budi Sunan Ampel, maka disuruhnya memilih antara puteri-puterinya untuk diperisteri. Maka Sunan Ampel memilih Dewi Condrowati.....

Itulah sedikit petikan dari buku tersebut. Mudah-mudahan coretan ini membuka minda kita dalam berdakwah.....






Serabut???


"Ya Allah, Kau Lapangkanlah dada kami, kau mudahkan urusan kami, dan bukakanlah ikatan pada lidah kami, dan mudahkan mereka memahami kata-kataku."