Saturday, 4 July 2009

Kisahku: Penyakit Misteri – Allah Menyentuh Hati

3.30 pagi 4 Julai 2009

Aku yang sedang tidur terkejut.

”Doktor, Ahmad (bukan nama sebenar) sakit perut. Ada di klinik...”

Lantas hilang rasa mengantuk. Aku sedia tahu yang Ahmad (Mat) ada penyakit Prolapse Intervetebral Disc (terseliuh rawan tulang belakang) . Sebelum ini sudah dua kali dia kena serangan akut yang menyebabkan Ahmad tidak dapat bergerak. Aku fikir, dia kena serangan lagi. Tanpa lengah aku terus ke klinik.

Aku juga masih teringat, pkul 11 malam tadi, Ahmad yang memegang ubat Panadol dan ubat batuk kerana demam selsema, berkaraoke. Dia menyanyi sebuah lagu rock di tengah halaman kem kami. Aku ingat kerana aku menegurnya, masakan seseorang yang demam boleh berkaraoke....

********************************************************************************************

”Doktor, saya tengok ada ketulan diperut Ahmad. Apabila dipegang akan lari ke tepi dan ke dada..!!!” kata Sarjan Ramli, pembantu perubatanku yang sejak awal menenangkan Ahmad.

Aku kehairanan kerana Ahmad kali ini tidak sakit di belakang. Malah, kata-kata pembantuku juga adalah suatu yang pelik... lebih tepat luarbiasa.

Aku pada mulanya agak tidak mempercayai kata-kata Ramli. Justeru, aku terus menuju kapada Ahmad yang melentikkan badan, keras dan mengerang kesakitan.

”Mat, sakit mana? Beritahu saya!!!”

Ahmad tidak menjawab. Dia terus mengerang kesakitan, sambil tangannya memegang perut. Kadang-kadang aku lihat Ahmad semacam tercungap-cungap, seolah-olah orang yang nazak hendak mati. Aku risau kalau-kalau betul dia sedang nazak.....

Aku kuatkan suara: ”sakit mana Mat!!! Bagitaulah (Beritahulah).” Loghat utaraku mula keluar. Sukar untuk berfikir dengan baik dalam keadaan cemas seperti ini. Namun tetap tiada jawapan.

”Sarjan, ambil BP (tekanan darah)!” arahku.

”Sarjan Din, prepare IM voltaren 75mg stat!” aku lanjutkan permintaan kepada seorang lagi pembantu perubatanku.

Oleh kerana pembelajaran perubatan semasa di universiti menggunakan Bahasa Inggeris, maka kami terbawa-bawa semasa bekerja.

Maksud arahanku ialah untuk menyediakan suntikan ke dalam otot jenis ubat Voltaren sebanyak 75 miligram dengan segera. Voltaren adalah ubat untuk mengawal rasa kesakitan.

Sementara mereka menyediakan permintaanku, aku memeriksa Ahmad. Aku pegang perutnya. Ternyata ada ketulan di ulu hatinya (epigastrik). Ketulan tersebut sebesar bola golf dan sakit apabila ditekan.

Di saat itu, apa yang aku risau ialah salur arteri abdomen (abdominal aorta) Ahmad bengkak dan pecah. Sekiranya ini benar, maka bonjolan tadi akan berdenyut, sepertimana nadi dipergelangan tangan, atau di leher.

Ternyata bonjolan itu tidak berdenyut. Maka ia bukanlah arteri yang bengkak atau pecah.

Aku juga memikirkan kemungkinan sejenis Uluran (Hernia). Tetapi tidaklah bonjolan itu membesar semasa Ahmad batuk, seperti yang diajarkan dalam teori.

Sedikit kelegaan terasa, namun aku belum dapat memastikannya. Dalam bidang perubatan, teori tidak selalunya seperti realiti.

Lega jugalah kerana ia tidaklah bergerak-gerak seperti dakwa Sarjan Ramli. Aku agak, mungkin ia kelihatan bergerak-gerak kerana postur tubuh Ahmad yang tidak tetap kerana kesakitan.

Aku juga tidak dapat pastikan ianya dari dalam rongga perut, atau otot atau kulit kerana Ahmad tidak berhenti bergerak dan tidak dapat menurut arahan. Namun bonjolan itu sentiasa dapat dilihat dengan mata kasar.

Kulitnya kelihatan biasa sahaja....Lain-lain kawasan perutnya normal. Tekanan darahnya juga biasa.

Aku capai stetoskop. Aku letakkan pada bonjolan tersebut. Tiada bunyi denyutan.

Aku lanjuti pemeriksaan jantung dan paru-paru. Semuanya normal. Maka, makin terurai kerisauan kerana, sesak nafas Ahmad bukanlah kerana dia nazak. Tetapi kerana kesakitan.

Sarjan Din telah selesai memberikan Voltaren. Alhamdulillah, Ahmad mula kelihatan tenang, lega dari kesakitan. Perlahan-lahan dia terkulai, lantas tertidur....

Di luar klinik, ramai yang berkumpul. Biarpun pagi itu sejuk, jam pula baru pukul 4 pagi, namun kekecohan yang berlaku menjadikan kem kami gempar. Ada yang mula memikirkan yang Ahmad diserang mahkluk halus.

Aku meminta Sarjan Din menyiapkan saluran intravena. Ianya sejenis alat saluran plastik, yang dicucuk kedalam salur darah dan dilekatkan pada kulit. Ianya untuk memudahkan ubatan dan air tambahan diberikan kepada pesakit.

Tidak lama kemudian, Ahmad terjaga. Dia kelihatan kehairanan, diam memikirkan sesuatu.

”Mat, macam mana rasa?” tanyaku.

Dia kelihatan terus kehairanan, melihat persekitaran klinik. Melihat terdapatnya salur intravena pada lengan kanannya. Melihat dia dikelilingi oleh ramai orang....

”Mat, tahu tak mat ada di mana ni? Sekarang Mat di klinik.” Jelasku. ”Tahu tak apa yang jadi tadi?”

”Tak...” jelas Mat lemah. ”Macamana saya ada di sini ni???”

Aku sedikit gempar mendengar soalannya. Agakku kejadian dia mengerang kesakitan tadi mungkin mengigau..... sebab itu dia tidak ingat.

Setelah ditanya, Ahmad menjelaskan yang kini dia tidak berasa sakit perut. Bahkan dia ingin mencabut saluran intravena tadi kerana berasa sihat dan tidak selesa. Oleh yang demikian, aku ceritakan kembali semua perkara yang terjadi dan meminta Ahmad tetap berada di klinik sehingga hari cerah.

Seorang rakan Ahmad yang menganggap peristiwa tadi sebagai mainan makhluk halus, menghulurkan sedikit air Yaasin untuk diminum. Aku biarkan sahaja....

Sebaik sahaja air itu menyentuh rongga mulut Mat, dia sekali lagi menjerit sakit perut.

”Kenapa ni?? Kenapa ni??” Ahmad bertanya sambil memegang bonjolan tadi.

Dia kelihatan seperti hendak muntah tetapi tiada apa yang keluar dari mulutnya. Bak kata orang melayu – ’muntah angin’.

”Aaahhhhhh!!!!” dia melentik-lentikkan badan kesakitan seperti awal tadi. Aku dapat melihat urat lehernya menegang seperti orang hendak mengamuk membunuh orang kerana marah. Sesekali bernafas macam orang nazak.

Aku duduk dibelakang Ahmad. ”Mat, cuba nafas satu-satu. Sabar ye...”

Aku minta orang sekitar membaca ayatul kursi, dan tidak lagi memberikan air kepadanya. Bukannya aku tidak percaya Khasiat Air Yaasin, tetapi aku tidak pasti adakah ini masalah perubatan fizikal atau spiritual. Kalau fizikal, maka dari ilmu perubatan dia tidak patut diberi minuman. Kalau spiritual, ada alternatifnya selain daripada memberikan air yang mungkin memudharatkan fizikal.... sebab itu aku suruh mereka membaca ayatul kursi.

Akhirnya, Ahmad kembali tenang dan tertidur.

Aku biarkan sahaja dia terus tidur. Biarkan dia berehat.

Setelah tempat pembaringan tadi dikemas, dan Ahmad diselimutkan, aku memberikan arahan kepada pembantuku untuk terus memerhatikannya. Esok, aku akan menghantarnya kepada Klinik Pakar Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu untuk pemeriksaan darah dan x-ray, selain mendapatkan pendapat pakar....

********************************************************************************************Sejak Peristiwa pagi tadi, bermacam-macam ”teori” dikatakan oleh penghuni kem. Aku tidak membantah satu pun darinya. Kerana Islam mengajar kita beriman kepada perkara-perkara ghaib.

Tidak pula aku layani kata-kata mereka yang ber”teori” itu kerana aku perlu pastikan ia bukanlah sesuatu yang boleh aku lakukan dari segi ilmu perubatan. Ilmu ghaib bukanlah sesuatu yang aku dalami dan aku tahu ubati.

Apabila Ahmad pulang daripada klinik, aku dijelaskan bahawa pakar-pakar Klinik PBB tidak mendapat membuat diagnosa tepat daripada penyakit Ahmad.... mereka sekadar mengagak ianya adalah bengkakan otot abdomen Ahmad dan meminta kami menghantarnya segera jika serangan tersebut terjadi lagi.

Aku bisikkan pada diri...”Apa lagi yang boleh aku buat?? Aku pun tidak pasti apa sebenarnya terjadi...”

Selesai solat maghrib disurau, aku berbincang dengan Sarjan Him. Dia pernah mengambil kelas agama empat Thanawi tetapi tidak tamat. Dia juga sering menjadi imam di surau kami.

Aku fikir, ianya suatu usaha untuk Ahmad. Bahkan, tarbiyyah kepada semua bahawa, kita perlu ingat sentiasa dan memohon pertolongan kepada Allah yang Esa...

Kami akhirnya setuju untuk mengadakan solat hajat untuk Ahmad.

”Sarjan ajak Ahmad datang sekali naa...” mintaku kepada nya yang juga berasal dari utara.

”Dia mana pernah mai (datang) surau...” balasnya.

”Hmmm...sebab tulah kena ajak dia...” kata ku mudah.

Selesai solat isyak Sarjan Him membuat pengumuman untuk solat hajat untuk Ahmad. Ahmad juga hadir di barisan hadapan. Kali pertama aku lihat Ahmad di surau.

Selesai solat hajat, kami semua bersalaman sambil berselawat....

Ahmad yang berhampiran denganku adalah orang pertama yang aku salam.

”Tuan, terima kasih....” bisiknya sebak.

Aku lihat matanya basah hendak menangis....

**************************************************************************

Mudahan Allah selesaikan masalahnya dan memberikan hidayah kepada kami semua....

4 comments:

  1. salam... great entry. keep on updating about stuff from there.. im coming back in a week time.. till then be safe

    ReplyDelete
  2. suspen btul cerita ni..
    ingat ada apa tadi..

    tapi ok r, byk pgjaran bg org yg mahu berfikir..

    ReplyDelete
  3. a true incident?? what happen to Ahmad in the end

    ReplyDelete