Wednesday, 8 July 2009

Anak Orang Tetum Itu

Gambar: Menyiapkan kerja sekolah di tepi "Round About"

Bangsa orang Timor Leste disebut sebagai bangsa Tetum. Mungkin diambil dari nama kerajaan asal di sini, iaitu kerajaan Tetum.

Orang Tetum itu hidupnya mudah. Mungkin dua perkataan yang sesuai menggambarkan hidup mereka ialah, hidup untuk mencari keperluan asas dan hiburan.

Seorang anak Timor Leste yang bersekolah sesudah bangun pagi, akan bersiap-siap untuk ke sekolah. Pakaian mereka juga mudah, tidak serumit pakaian anak-anak Malaysia.

Mereka tidak perlu basuh atau menyapu kapur pada kasut di hujung minggu. Ini kerana mereka tiada kasut seragam. Kasut mereka beragam-ragam. Pink, biru, kelabu, bunga-bunga dan macam-macam.

Ada antara mereka juga tidak perlu basuh stokin. Kerana tidak pakai stokin.

Ibubapa tidak pening kepala membelikan anak-anak beg sekolah yang mahal-mahal. Ini kerana mereka hanya ke sekolah paling banyak 4 buah buku. Tidak beli beg pun tidak masalah.

Yang cowok (lelaki) pakai baju kemeja dengan seluar panjang. Yang cewek (perempuan) berbaju kemeja dengan skirt. Baju pula tidak perlu diselitkan dalam seluar.

Mereka tidak perlu berlari-lari sekiranya lambat ke sekolah. Tiada pengawas yang menjaga pintu untuk ambil nama dan marah-marah. Setakat ini pun saya belum pernah melihat ada perhimpunan harian di sekolah. Bahkan, pada sebilang masa waktu pejabat, anda boleh lihat anak-anak berpakaian sekolah di merata-rata bumi Dilli.

Pola bersekolah hanya 2 jam sahaja. Nampaklah pada mata kasar, berbondong-bondong masuk ke sekolah jam 0830h, tapi keluarnya 1030h. Itu pun pada bila sahaja masa anda boleh melihat saki-baki mereka di mana-mana.

Suatu ketika, malam selepas sambutan merdeka, seorang anak perempuan ramaja tidak ke sekolah. Penat kerana berdansa dari pukul 9 sampai hampir-hampir subuh tamat. Ditanya mengapa tidak ke sekolah.

Jawabnya, ”kalau ke sekolah pun tidur, lebih baik tidak ke sekolah om!”

Teringat suatu pujangga, entah hadis entah kata-kata. Lebih baik masuk majlis ilmu, walaupun kita tertidur.

Hidup anak-anaknya mudah.

(bersambung)

No comments:

Post a Comment