Monday 20 July 2009

Namanya Yaakob @ Jacob

“Doktor, adik perempuan tu dah beranak dah…” kata Inspektor Leonardo.

Aku terjaga daripada tidur. Jam sudah pukul 6 pagi.

“Siapa yang sambut ’baby’ tu?” tanya ku.

"Mak dia...”

“Hehe…” aku tidaklah berapa terkejut, kerana memang sudah dijangka adik tersebut bakal melahirkan anak. Aku juga tidak menggelabah kerana aku tahu yang jiran adik itu pernah menyambut kelahiran.

Gelak? Aku gelak kerana aku gembira dan suka. Semalam hujan turun hampir 12 jam, sekarang pun masih belum berhenti. Aku ternanti-nanti kerana hujan ini adalah khabaran baik untuk sesuatu yang aku tidak tahu. Jawapannya kini ku dapat. Seorang lagi bayi tidak berdosa, sesuci kain putih telah lahir.

Aku pun terus mencapai bekas alat-alat mandi, memakai tuala yang masih lembap, dan terhuyung-hayang berjalan ke bilik mandi. Hmm...mengantuk lagi....

Aku singgah di bilik Sarjan Ramli.

”Dah bersalin dah,” kataku. Sarjan kelihatan sedikit terkejut, juga sebab aku baru kejutkan dia dari tidur. ”Tak pe, nanti selepas mandi dan solat kita pergi tengok mereka,” kataku menenangkannya.

Kami sebenarnya menantikan saat kelahiran bayi adik. Sudah terjangka.

Sebelum aku mengangkat takbiratul ihram untuk solat subuh, aku terdengar laporan daripada walkie talkie...”ibu dan anak kelihatan stabil, tiada pendarahan...”..

Semakin lega rasa hati. Aku minta kepada Leonardo untuk memastikan jiran adik itu tahu yang dia telah melahirkan anak.

Selepas solat kami terus ke klinik. Mencari alat-alat yang mungkin perlu untuk membantu ibu yang baru melahirkan anak.

Kami bawa set alatan steril yang digunakan untuk menjahit luka. Bahasa perubatannya ialah "Toilet and suture set”. Toilet bermaksud mencuci, bukannya tandas seperti mula-mula aku mengetahuinya. Suture bermakna jahit.

Sepatutnya untuk kelahiran kami membawa ‘Labour set’- iaitu set kelahiran. Tetapi dalam misi keamanan, kami tidaklah bersiap sedia menyambut kelahiran. Jadi, kami gunakan apa yang ada.

Bahkan modes untuk menyerap darah wiladah pun tidak ada. Yang ada, hanyalah lampin orang dewasa. Ok lah tu….

***************************************
Apabila tiba, aku lihat adik duduk bertinggung di atas lantai. Bayinya berbungkus dihadapannya di dalam kain yang lembap. Di sekitar mereka penuh dengan darah dan air ketuban

Aku kehairanan. Aku tidak menjangka orang yang baru bersalin akan duduk bertinggung.

Aku lihat sekitar, dimana jirannya itu???

Setelah diselidik, rupanya mereka tidak memaklumkan kepada jiran tersebut. Aku panggilnya ibu.

Sebentar kemudian barulah ibu datang.

”Kenapa tidak datang tadi?” tanya ku.

”Orang ngak panggil. Nanti kalau datang jugak kena marah tu!!!”

Oh....begitu lah pulak.

Aku memakai sarung tangan pembedahan. Ini merupakan sarung tangan yang steril. Tentu sekali, aku tidak mahu anak ini kena jangkitan....

Kain pelikat lembap berwarna ungu membaluti tubuh anak itu. Aku selak perlahan-lahan, sambil cuba menilai keadaan.

Rupa-rupanya....

”Ya Allah....” bisikku dalam hati. "Tali pusat tak potong lagi...dah dekat sejam ni....”

Anak itu pun kelihatan terketar-ketar kesejukan. Sejam berada dalam kain lembap.

Uri pun baru hendak keluar. Tetapi tiada pendarahan aktif. Aku jangka hampir 500 ml darah yang adik hilang. Itu biasa bagi setiap kelahiran.

“Tadi menangis tak??” tanya ku kepada ibu. Ibu menterjemah soalan ku dalam bahasa Tetum. Ahli rumah itu tidak faham bahasa Melayu.

”Menangis.... menangis...” jawab ibu.

Bagi kami, ahli perubatan, amat penting untuk bayi itu menangis. Itulah tanda ia aktif. Itulah berita baik oksigen masuk ke paru-parunya. Jika tidak, air ketuban yang disedut semasa dalam perut ibu tidak keluar, justeru menghalang udara luar masuk.

Aku terus minta Sarjan Ramli membuka set alatan tadi. Aku pasangkan pengepit darah (artery forcep) pertama hampir 1 ½ inchi daripada pusat anak itu dan pengepit darah kedua diselakan 2 cm dari yang pertama. Kemudian, pengepit ketiga dipasang berhampiran adik. Ini adalah prosedur biasa kelahiran.

Aku capai gunting, dan kini anak itu sudah dipisahkan daripada ibunya. Sedang aku mengangkat bayi, uri pula turut keluar habis.

”Ibu, minta kain kering...” kesian aku tengok anak itu, sejuk....aku balutinya dengan berhati-hati. Lahirlah engkau menjadi orang-orang baik....

Ibu adik kemudian menyambut bayi itu.

Setelah itu, aku tumpukan pada adik.

Uri itu ku bungkus, dan meminta mereka menanamnya. Adik pula tidaklah bermasalah sangat. Rahimnya mengecut dengan baik. Cuma sedikit jahitan dikenakan kerana luka semasa melahirkan anaknya. Seluruh proses aku dibantu oleh Sarjan Ramli dan diperhatikan ibu bagi menjelaskan prosedur kepada adik.

Setelah selesai, aku minta agar bayi itu disusukan. Semua doktor atau bidan sepatutnya melihat dan mengajar ibu-ibu muda menyusukan anak.

Alhamdulillah, bayi itu minum dengan baik....comel...putih.... teingat ketika aku menyambut anakku....

”Doktor, hari ini tanggal berapa?” tanya ibu.

”Tanggal 20 Juli (Orang di sini tidak menyebut Julai).”

“Hari ini Isnin kan pak? Hmm...mereka minta bapa namakan anak ini. Kerana bapak yang menyambutnya....”

Haaahh....aku terharu dan gembira. Tak sangka seorang Muslim akan diminta untuk menamakan bayi keluarga itu....

“Betul ni?”

“Ya pak...” kata ibu.

“Mereka agama Katolik kan?” tanyaku minta kepastian.

”Ya...”
Setelah berfikir sejenak, aku pun membuat keputusan....

”Begini bu, kalau Muslim kami sebut Yaakob. Tapi orang Katolik menyebutnya Jakob (Jacob). Ibu bisa panggilnya Jakob....”

Mudahan Jakob membesar menjadi seorang yang baik. Aku kesihankan Jakob. Dia tiada bapa.....

3 comments: